Now Reading
Tular Iklan Berunsur Lucah, PHM Gesa Henti Pemasaran Murahan

Tular Iklan Berunsur Lucah, PHM Gesa Henti Pemasaran Murahan

Jelas Public Health Malaysia (PHM), menggambarkan golongan wanita sebagai objek semata-mata dengan menggunakan bahasa dan imej tidak sesuai boleh memberi kesan buruk.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui pemasaran merupakan antara aspek terpenting dalam memperkenalkan produk sedia ada kepada khalayak ramai. Pun begitu, bukanlah semua jenis pemasaran sesuai digunakan.

Seperti yang tular baru-baru ini, kecoh di platform media sosial apabila produk kesihatan dalaman wanita keluaran Nilofa Group memaparkan iklan menyerupai bentuk kemaluan wanita.

Gambar iklan produk kesihatan wanita keluaran syarikat tersebut iaitu Isterix telah mendapat kecaman ramai kerana gambar iklan yang tidak menjaga sensitiviti.

Baca Artikel Berkaitan: [Foto] Iklan Produk Wanita Keluaran Nilofa Guna Imej Mirip Miss V Bikin Ramai Tergamam


Pemasaran Dengan Dakwaan Palsu Adalah Tidak Beretika

Berbicara mengenainya, Public Health Malaysia menerusi bebenang di laman X (@health_malaysia) berkata pendekatan yang tidak bertanggungjawab dan kurang beretika sering digunakan bagi menarik perhatian pengguna dalam dunia pemasaran.

Antara trend semakin membimbangkan adalah penggunaan imej simbolik lucah untuk pemasaran terutamanya produk yang dikhaskan buat golongan wanita.

Pemasaran menakutkan wanita dengan dakwaan palsu adalah satu lagi taktik yang tidak beretika. Iklan-iklan mendakwa produk tertentu boleh mengelakkan masalah kesihatan tanpa bukti saintifik kukuh boleh menyesatkan pengguna.

PHM.

Kesan Buruk Terhadap Pandangan Seseorang Terhadap Wanita

Tambah PHM, iklan yang menggambarkan para wanita sebagai objek semata-mata dengan menggunakan bahasa dan imej tidak sesuai boleh memberi kesan buruk terhadap pandangan umum.

Ia bukan sahaja boleh merendahkan martabat wanita, bahkan juga boleh menakutkan golongan itu dengan dakwaan palsu.

Imej-imej yang digunakan dalam iklan ini boleh memberi kesan negatif kepada persepsi diri wanita. Mereka mungkin berasa tertekan untuk memenuhi standard tidak realistik yang dipaparkan dalam iklan.

PHM.

Mengaitkan isu ini dengan produk Isterix keluaran Nilofa Group, PHM berkata ia satu taktik pemasaran yang memalukan selain menggunakan ugutan dalam iklannya.

“Neelofar sebagai selebriti berpengaruh dengan imej muslimah sewajarnya lebih sensitif dan prihatin mengenai isu ini dan mengambil langkah berhati-hati dalam strategi pemasaran produk,” jelas PHM.

Sumber: Nilofa Group

Syarikat Perlu Tetapkan Garis Panduan Pemasaran Yang Ketat

Bagi menghentikan amalan pengiklanan tanpa etika, PHM menggesa syarikat untuk menetapkan garis panduan pemasaran yang ketat. Sebarang kandungan iklan perlu disemak dengan teliti untuk memastikan ia tidak merendahkan atau menghina mana-mana individu.

Pengguna juga perlu lebih bijak dan kritis dalam menilai dakwaan produk yang dipaparkan dalam iklan. Dengan usaha bersama, kita boleh mencipta persekitaran pemasaran yang lebih bertanggungjawab dan beretika.

PHM.

Orang Ramai Rasa Jijik Lepas Gunakan Makanan Sebagai Simbolik Alat Sulit Wanita

Menjengah ke ruangan balas, orang ramai dilihat bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh PHM.

“Memang betul-betul perbuatan keji, jijik dan hina,” kata seorang pengguna X.

Malah, ada juga individu yang mempertikaikan segelintir masyarakat yang masih percaya dengan produk-produk sebegitu.

“Siapa yang luluskan produk tersebut? Kenapa masih ada orang yang percaya dengan ubat-ubat macam ni? Sepatutnya makin maju kehadapan, orang makin pandai. Ini terbalik pula ya,” ujar seorang wanita.

Selain itu, ada juga yang berasa berang apabila makanan digambarkan sebagai alat sulit wanita.

“Paling benci bila orang gunakan makanan sebagai simbolik benda-benda macam ini. Makanan tu rezeki dari Tuhan untuk dimakan. Jijik bila digambarkan seperti ini,” jelas seorang individu.

Sumber: (@health_malaysia)

Nilofa Group Mohon Maaf

Terdahulu, Nilofa Group menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram berkata pihaknya menerima segala teguran dan akur dengan kesilapan itu.

“Pihak isterix memohon maaf atas beberapa grafik tertentu yang telah dihasilkan. Kami terima segala teguran dan akur dengan kesilapan ini.”

Mereka juga akan lebih menjaga sensitiviti untuk menghasilkan konten yang lebih mesra masyarakat pada masa akan datang.

Baca Artikel Berkaitan: Nilofa Group Mohon Maaf, Padam Semua Iklan Berunsur Lucah

Baca Artikel Berkaitan: Libresse Sanitary Pads Fly Off Shelves As Women Support The Brand After Shaming From Religious Body


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd