Now Reading
“Kalau Warna Cantik Tapi Tak Dapat Emas Pun Tak Guna” – Ketua Kontinjen Malaysia Ulas Isu Baju Atlet Sukan Olimpik

“Kalau Warna Cantik Tapi Tak Dapat Emas Pun Tak Guna” – Ketua Kontinjen Malaysia Ulas Isu Baju Atlet Sukan Olimpik

Pemilihan warna emas dan hitam berbanding warna oren yang digunakan baju seragam bagi atlet Malaysia pada Sukan Olimpik sebelum ini adalah untuk membawa aura pingat kepada kontinjen.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Belakangan ini, isu rekaan baju untuk atlet Malaysia yang bakal bertanding di Sukan Olimpik 2024 telah mengundang perdebatan masyarakat sejak ia dilancarkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 23 Jun lalu.

Wujud kritikan daripada orang ramai bahawa pakaian yang ditaja oleh Yonex Sunrise Malaysia itu seolah-olah dibuat seperti ala kadar dan mereka turut menyamakannya seperti pakaian sukan yang ditempah untuk murid sekolah.

Situasi ini membuatkan sesetengah masyarakat di media sosial berasa kecewa kerana pakaian rasmi untuk mewakili Malaysia di pentas dunia sepatutnya dihasilkan dengan penuh kreatif bagi mencerminkan nilai negara kita.

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Kecewa Lihat Baju Atlet Malaysia Bagi Sukan Olimpik 2024, Ini Respon Hannah Yeoh


Ini Pula Komen Dari Ketua Kontinjen Malaysia

Memetik laporan Kosmo, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihak mereka berpendirian tetap untuk tidak menukar rekaan baju bagi pakaian seragam atlet Malaysia.

Sebaliknya, pihak MOM mahu menumpukan fokus utama mereka bagi mengejar pingat emas dalam temasya sukan berkenaan yang bakal berlangsung pada 26 Julai sehingga 11 Ogos di Paris.

Sumber: Facebook Olympics Council of Malaysia

Jelas beliau lagi, pemilihan warna emas dan hitam berbanding warna oren yang digunakan pada tahun-tahun sebelum ini adalah untuk membawa aura pingat kepada kontinjen.

Mengenai rekaan baju ini juga, kita semua telah bersetuju dengan Yonex (pengeluar pakaian rasmi) menunjukkan warna emas kerana warna oren yang digunakan atlet sudah lama sejak 2004 lagi, jadi ramai atlet sebelum ini meminta MOM untuk tukar warna lain.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin

Kata beliau lagi, rekaan tersebut telah mendapat kelulusan dari pengurusan tertinggi MOM dan ia tidaklah terlalu buruk.

Walau bagaimanapun, mereka tetap mengambil maklum tentang kritikan orang ramai tentang pakaian seragam berkenaan.

Lembaga eksekutif MOM telah meluluskan reka bentuk akhir ini sebelum dipamerkan kepada umum. Saya tidak nampak ia terlalu teruk sangatlah dengan baju ini semua, jadi kita kena bersyukur tetapi kami mengambil maklum kritikan orang ramai.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin juga menjelaskan logo yang terpampang pada pakaian tersebut adalah milik MOM dan bukan Jalur Gemilang seperti yang didakwa oleh orang ramai.

Sumber: Facebook Olympics Council of Malaysia

Pada masa sama, Ketua Kontinjen Malaysia itu berharap masyarakat tidak lagi mempertikaikan tentang rekaan atau pemilihan warna bagi baju tersebut dan mahu fokus memburu pingat di acara sukan berkenaan.

“Soal untuk menukar rekaan baharu, saya rasa tidak perlu kerana kita tiada masa yang mencukupi malah baju ini juga tidaklah terlalu teruk,” katanya.

Hamidin juga beranggapan mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat rekaan baharu.

Saya harap pihak media dan juga netizen memberi sokongan dan bukan terus mempertikaikan warna ini semua. Kalau warna ini cantik pun tak dapat emas atau pingat pun tak guna.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin.

MOM Bakal Buka Pertandingan Rekaan Pakaian Untuk Olimpik Seterusnya

Sementara itu, Hamidin juga telah menghubungi Presiden MOM iaitu Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bagi melontarkan idea tentang membuka peluang kepada orang ramai untuk membuat rekaan pakaian bagi kontinjen Malaysia.

Sumber: Facebook Olympics Council of Malaysia

Mohamad Norza bersetuju dengan cadangan tersebut dan akan memberikan peluang tersebut kepada masyarakat untuk temasya Olimpik.

Saya juga telah hubungi (Presiden MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria malam tadi untuk melontarkan idea kepadanya dan pada dasarnya beliau bersetuju untuk Olimpik seterusnya, kita akan buka kepada peminat untuk membuat rekaan pakai buat Kontinjen Malaysia. Selepas itu, kita akan pilih dan mungkin akan beri sagu hati kepada para pemenang.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin.

Orang Ramai Mula Buat Rekaan Baharu Untuk Baju Seragam Sukan Olimpik 2024

Di media sosial, masyarakat mula berkongsi beberapa idea rekaan baju yang lebih menarik dan kreatif untuk atlet Malaysia yang bakal mewakili negara di Sukan Olimpik 2024.

Antara rekaan yang dibuat adalah seperti berikut:

Mana tahu salah satu design ini boleh diguna pakai untuk menghasilkan pakaian seragam bagi atlet Malaysia untuk Sukan Olimpik akan datang.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd