Now Reading
AirAsia X Bakal Terbang Ke Afrika, Lancar Laluan Baru ‘Direct’ Dari KL Ke Nairobi Di Kenya

AirAsia X Bakal Terbang Ke Afrika, Lancar Laluan Baru ‘Direct’ Dari KL Ke Nairobi Di Kenya

AirAsia X menjadi syarikat penerbangan tambang rendah di Malaysia yang menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Nairobi, Kenya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Benua Afrika merupakan salah satu lokasi destinasi pelancongan yang menarik minat orang ramai dengan adanya kehidupan safari yang menakjubkan.

Bayangkan tengah asyik memandu di jalan raya, tiba-tiba ternampak zirafah, gajah atau harimau bintang di kawasan sekitar.

Kepada anda yang menggemari percutian yang eksotik dan unik, AirAsia X ada berita gembira untuk kalian semua!


AirAsia X Lancar Laluan Penerbangan Terus Ke Nairobi

Semalam (1 Julai) merupakan detik bersejarah buat AirAsia X (AAX) apabila mereka meraikan satu lagi pencapaian baharu dengan melancarkan laluan ke Nairobi, Kenya di benua Afrika.

Nairobi adalah ibu kota Kenya yang merupakan destinasi safari bagi melihat hidupan liar seperti Badak Sumbu Putih dan pelbagai jenis fauna di Masai Mara.

Bandar ini juga merupakan sebuah metropolis yang meriah serta menawarkan tarikan budaya dan hidangan lazat daripada pelbagai budaya dan tradisi.

Sumber: AirAsia

Penerbangan pertama yang dijadualkan pada 15 November 2024 ini bakal menjadikan AAX sebagai satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah di Malaysia yang menawarkan sambungan udara secara terus ke destinasi menakjubkan ini.

Pada bulan Mac tahun ini, AAX juga telah memperkenalkan laluan baharu ke Almaty, Kazakhstan yang merupakan laluan pertamanya ke Asia Tengah.


Laluan Penerbangan Terus Ke Nairobi Dari Kuala Lumpur Boleh Jana Ekonomi Kedua-dua Negara

Laluan ke Nairobi bakal menjadi rangkaian penting dalam menghubungkan Asia ke Afrika, seterusnya menggalakkan hubungan perdagangan, pelancongan dan perniagaan yang lebih kukuh di rantau ini.

Dengan memudahkan perjalanan udara secara terus antara Kuala Lumpur dan Nairobi, syarikat penerbangan ini bakal meningkatkan kesalinghubungan dan merangsang peluang ekonomi bagi kedua-dua buah negara.

AAX juga akan menawarkan penerbangan sambungan menerusi perkhidmatan Fly-Thru untuk menghubungkan Kenya ke 130 destinasi di seluruh Asia Tenggara, Asia Utara, Asia Tengah, dan Australia dengan pilihan perjalanan berpatutan dan mudah di samping memperkukuh komitmen terhadap kesalinghubungan global.

Sumber: AirAsia

“Penerbangan pertama AirAsia X ke Nairobi merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan perlu diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kini kita boleh menantikan kehadiran lebih ramai pelancong dari Kenya untuk meneroka destinasi-destinasi menarik di Malaysia seperti Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Langkawi dan lain-lain.

“Kehadiran mereka amat dialu-alukan terutama dalam usaha kita mensasarkan 35.6 juta pelancong untuk menjana resit sasaran sebanyak RM147.1 billion sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026,” kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Tiong King Sing.

Sumber: AirAsia

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes pula berkata, “Kami berbesar hati untuk mengumumkan laluan baharu terus yang menghubungkan Malaysia dan Kenya.

“Ini adalah pencapaian yang membanggakan bagi AirAsia selepas kemenangan ke-15 berturut-turut sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia oleh Skytrax, membuktikan misi kami untuk menghubungkan para tetamu ke serata dunia dengan tambang berpatutan.

“Walaupun kekuatan kami adalah di Asia dan Asean, kami terus memasang impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat penerbangan tambang rendah global.”

Sumber: AirAsia

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail pula menjangkakan lebih 156,000 pengembara tahunan akan menggunakan laluan ini dan ia secara tidak langsung dapat mengukuhkan sektor pelancongan antara Malaysia serta Kenya.

“Pengembara di seluruh rantau ini kini boleh melakukan perjalanan ke Kenya dengan lebih berpatutan melalui Kuala Lumpur. Malaysia dan Kenya adalah dua buah negara yang memiliki persamaan di mana kedua-duanya adalah negara yang mempunyai berjuta-juta rakyat dan memiliki kekayaan warisan serta pemandangan menakjubkan,” kata Benyamin.

Sumber: AirAsia

Tempat Duduk Percuma Untuk Penerbangan Antara Kuala Lumpur dan Nairobi

Sempena pelancaran laluan baharu ke Afrika ini, para penggemar aktiviti lasak di seluruh dunia dan pencinta alam semula jadi boleh menikmati pengembaraan di Kenya dengan tempat duduk PERCUMA* antara Kuala Lumpur dan Nairobi.

Tambang promosi ini boleh ditempah melalui aplikasi AirAsia MOVE (dahulu dikenali sebagai airasia Superapp) mulai semalam (1 Julai) sehingga 14 Julai 2024 untuk tempoh perjalanan antara 15 November 2024 dan 8 Oktober 2025.

Penerbangan bagi Kuala Lumpur-Nairobi dan Nairobi-Kuala Lumpur dijadualkan sebanyak empat kali seminggu dengan waktu seperti berikut:

Jadual penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Nairobi (NBO).

Jadi kepada anda yang sudah lama memasang impian untuk bercuti ke benua Afrika, inilah masanya!

*Promosi Tempat DUDUK PERCUMA hanya terpakai untuk TAMBANG ASAS sahaja bagi laluan sehala pada Tempat Duduk Ekonomi dan adalah terhad serta tersedia untuk tempahan awal. Tambang keseluruhan bermula dari RM471 termasuk caj bahan api, cukai dan caj-caj lain yang berkenaan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd