Now Reading
Atlet Muda Badminton China Meninggal Dunia Ketika Perlawanan

Atlet Muda Badminton China Meninggal Dunia Ketika Perlawanan

Difahamkan, pemain itu telah rebah di gelanggang semasa kedudukan 11-11 pada perlawanan set pertama, Kejohanan Berpasukan Campuran Badminton Remaja Asia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (30 Jun), pemain badminton China berusia 17 tahun, Zhang Zhi Jie dilaporkan meninggal dunia selepas rebah di gelanggang semasa kejohanan antarabangsa di Indonesia sedang berlangsung.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku ketika Zhang menentang lawannya, Kazuma Kawano dari Jepun di Kejohanan Berpasukan Campuran Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia.

Zhang dilaporkan rebah ke lantai sewaktu kedudukan 11-11 pada perlawanan set pertama.

Sumber: TikTok (@kita.badminton)

Punca Sebenar Kematian Masih Belum Dikenal Pasti

Susulan itu, seorang doktor dan pasukan perubatan telah bergegas ke tempat kejadian dan dia dibawa ke hospital dengan ambulans.

“Dia dihantar ke hospital di mana dia meninggal dunia pada 11:20 malam waktu tempatan semalam.

“Dia dirawat oleh doktor kejohanan dan pasukan perubatan. Dia dibawa dalam ambulans siap sedia dalam masa kurang dua minit dan dihantar ke hospital,” kata Badminton Asia dan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) dalam satu kenyataan.

Setakat ini, punca sebenar kematian masih belum dikenal pasti.

Sumber: Facebook Badminton Asia

Ucapan Takziah Buat Keluarga Zhang Zhi Jie

Sementara itu, Badminton Asia PBSI dan jawatankuasa penganjur amat berdukacita dengan insiden tersebut selain menzahirkan ucapan takziah kepada ibu bapa Zhang, keluarga dan Persatuan Badminton China (CBA).

“Dunia badminton kehilangan pemain berbakat,” tambah kenyataan itu.

Untuk info, Zhang adalah sebahagian daripada pasukan badminton remaja kebangsaan China. Pada Mac lalu, dia memenangi Kejohanan Remaja Antarabangsa Belanda di Belanda.


Senyap Selama 1 Minit Sebagai Tanda Penghormatan

Semasa kejohanan hari ini (1 Julai) berlangsung, ahli pasukan China memakai lilitan kain berwarna hitam pada lengan mereka sebagai tanda penghormatan kepada rakan sepasukan.


Orang Ramai Berdukacita Dengan Pemergian Atlet Berbakat China

Menjengah ke platform media sosial, orang ramai khususnya para peminat juga dilihat terkejut dengan khabar berita pemergian atlet badminton tersebut.

Ramai dilihat tidak menyangka Zhang meninggal dunia walaupun hanya berumur 17 tahun. Dalam masa sama, orang ramai juga menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga yang kini terkesan dengan insiden berkenaan.

“Zhang Zhi Jie, awak seorang yang baik dan atlet yang berbakat. Terima kasih untuk segalanya!” kata seorang pengguna X (Twitter).


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd