Now Reading
Boleh Ke Dapat Jangkitan HIV Dari Peralatan Di Salon Kuku?

Boleh Ke Dapat Jangkitan HIV Dari Peralatan Di Salon Kuku?

Doktor perubatan menjelaskan salon kuku yang bagus pasti akan menjalankan protokol sanitasi untuk mengelakkan sebarang jangkitan daripada berlaku, bukan hanya HIV.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Human immunodeficiency virus atau HIV merupakan satu jangkitan yang sering dikaitkan dengan hubungan seksual. Virus ini akan menyerang sistem imun tubuh badan dengan menyasarkan sel darah putih.

Individu yang dijangkiti HIV mudah dijangkiti penyakit seperti tuberkulosis, jangkitan kuman dan sesetengah kanser. Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit atau AIDS adalah peringkat terakhir jangkitan HIV.


HIV Boleh Dijangkiti Menerusi Cecair Badan

Bercakap soal HIV, timbul persoalan sama ada virus ini boleh dijangkiti menerusi peralatan yang digunakan bagi tujuan kecantikan seperti di salon kuku (nail salon).

Doktor perubatan, Dr Karan Raj, menjelaskan perkara ini menerusi hantaran video di TikTok. Dia berkata HIV boleh dijangkiti melalui cecair badan tertentu seperti darah.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus HIV juga boleh disebarkan menerusi susu ibu, air mani, cecair dari faraj serta dari ibu ke bayi yang dikandungkan. Namun begitu, HIV tidak boleh dijangkiti hanya dengan pelukan, ciuman atau perkongsian makanan.

Virus HIV yang menjangkiti sel manusia (Sumber gambar: Unsplash).

Virus HIV Tidak Boleh Hidup Lama Di Luar Badan

Dr Karan menjelaskan bahawa virus tersebut kebanyakannya tidak boleh hidup lebih beberapa minit di luar tubuh badan. Perkara ini bermakna agak mustahil ia dijangkiti melalui permukaan atau peralatan yang digunakan jika tidak tercemar secara terus dengan darah.

Di salon kuku, Dr Karan berkata secara teorinya timbul kerisauan jika terdapat darah yang mencemarkan peralatan dan tidak disterilkan dengan betul sebelum digunakan ke atas pelanggan lain.

Namun begitu, salon kuku yang bagus pasti akan menjalankan protokol sanitasi untuk mengelakkan sebarang jangkitan daripada berlaku, bukan hanya HIV.

Tambah Dr Karan, antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengelakkan jangkitan ialah mensterilkan peralatan, menggunakan peralatan pakai buang dan menjaga kebersihan permukaan kerja. Melakukan perkara ini bermakna risiko jangkitan HIV hampir tiada sama sekali.

Sumber gambar: Unsplash

Tiada Jangkitan HIV Jika Beban Virus Tidak Dapat Dikesan

Menurut Dr Karan, kajian mendapati bahawa tiada jangkitan HIV boleh berlaku menerusi hubungan seksual tanpa kondom dengan seorang individu positif HIV dengan beban virus yang tidak dapat dikesan.

Katanya, individu yang positif HIV mempunyai hak privasi ke atas status kesihatan mereka. Malah, mendedahkan status HIV akan mewujudkan stigma dan diskriminasi.

Sumber gambar: @dr.karanr/ TikTok
https://www.tiktok.com/@dr.karanr/video/7387097974133771553

Jangkitan Fungus & Ringworm Di Salon Kuku Lebih Dirisaukan

Menjenguk ke ruangan komen, beberapa individu berkata pekerja di salon kuku selalunya lebih bimbangkan jangkitan lain seperti fungus dan ringworm berbanding penyakit HIV.

Selain itu, salon kuku yang berdaftar menganggap semua pelanggannya mempunyai HIV atau Hepatitis C sebagai langkah berjaga-jaga dan akan mensterilkan serta memakai sarung tangan sewaktu prosedur.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd