Now Reading
[Video] Pakar Perunding Pediatrik Swasta Terima Gaji Hingga RM70K Sebulan Raih Perhatian

[Video] Pakar Perunding Pediatrik Swasta Terima Gaji Hingga RM70K Sebulan Raih Perhatian

Pakar perunding pediatrik itu sebelum ini menerima gaji asas RM2,500 sebulan sekitar 15 tahun lepas ketika berkhidmat di sektor kerajaan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila bercakap soal gaji, orang ramai masih tidak terbuka untuk berkongsi pendapatan diterima mereka.

Namun begitu, satu organisasi MalaysianPAYGAP telah memulakan diskusi dalam talian bagi membincangkan ketelusan gaji.

Baru-baru ini, MalaysianPAYGAP telah berkongsi di akaun TikTok video temubual bersama seorang wanita yang bekerja sebagai pakar perunding pediatrik di sebuah hospital swasta.


Pakar Perunding Pediatrik Swasta Terima Gaji Sehingga RM70,000

Dia yang sebelum ini berkhidmat dalam sektor kerajaan hanya menerima gaji asas sebanyak RM2,500 sebulan sekitar 15 tahun lepas. Kini, gajinya di sektor swasta mencecah RM60,000 hingga RM70,000 sebulan!

Tambahnya lagi, gajinya meningkat empat kali ganda apabila berpindah dari sektor kerajaan ke swasta. Dia berkata seorang perunding di hospital kerajaan akan menerima gaji sekitar RM16,000 hingga RM20,000 sebulan.

Menjenguk ke ruangan komen, wanita tersebut dikenali sebagai Dr Nisa. Menurutnya, dia bercita-cita menjadi seorang doktor sejak di bangku sekolah rendah lagi.


“Penting Untuk Selesaikan Latihan” – Dr Nisa

Apabila ditanya, dia menasihati para pelajar perubatan tentang kepentingan menyelesaikan latihan. Dia juga berkata setiap pekerjaan pasti mempunyai tekanannya yang tersendiri dan bukan tertakluk dalam bidang perubatan sahaja.

Tambah Dr Nisa, keadaan akan menjadi lebih mudah setelah seorang doktor pelatih menyelesaikan tempoh latihannya.

Dia turut menceritakan pengorbanan yang terpaksa dihadapinya dalam mencapai kejayaan pekerjaannya itu. Ketika sedang menjalani latihan, dia telah melahirkan seorang anak dan tidak dapat meluangkan banyak masa dengan cahaya matanya itu.

Di samping itu, Dr Nisa berkongsi seorang doktor harus berada di hospital selama 35 hingga 40 jam secara berterusan tanpa tidur ketika tugasan ‘on-call’.

https://www.tiktok.com/@malaysianpaygap/video/7386607675938737409

Gaji Minimum Swasta Hanya RM1,500

Untuk makluman, gaji minimum pekerja swasta yang ditetapkan di Malaysia ialah RM1,500 sejak Mei 2022.

Namun pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid, telah mencadangkan kepada kerajaan agar menetapkan gaji minimum terkini RM2,100. Bank Negara Malaysia (BNM) pula mencadangkan gaji minimum RM2,700.

Berdasarkan carian kami di laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), gaji minimum doktor yang berkhidmat dalam sektor kerajaan kini ialah RM2,947.

Apabila dibandingkan dengan perkongsian Dr Nisa, ini bermakna gaji permulaan doktor di hospital atau klinik kerajaan meningkat tidak sampai RM500 dalam tempoh 15 tahun.


Orang Ramai Puji Sifat Rendah Diri Dr Nisa

Perkongsian Dr Nisa menerima banyak maklum balas dari orang ramai, sehingga ada yang tidak menyangka terdapat individu yang menerima gaji sebanyak itu di dalam negara.

Seorang individu berkata doktor pakar kanak-kanak terhad di Malaysia dan kerana itulah dia menerima gaji yang amat tinggi.

Di samping itu, seorang pengguna TikTok berkata doktor pakar layak menerima gaji sebegitu tinggi kerana menghabiskan masa pengajian berbelas-belas tahun untuk kelayakan mereka. Malah, seorang doktor pakar perlu menghadapi pelbagai kerenah manusia dan serta tekanan kerja.

Ada juga yang berkata perbezaan gaji yang ketara menyebabkan ramai staf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berubah ke sektor swasta.

Dalam masa sama, orang ramai turut memuji gaya Dr Nisa yang bersederhana walaupun dengan gaji yang tinggi.

“Walaupun gaji kita berbeza, tapi lipstick kita sama,” kata seorang pengguna TikTok merujuk kepada gincu yang dipegang Dr Nisa.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd