Now Reading
Rumah Allahyarham Sharifah Aini Dirobohkan & Dibeli Oleh Pemaju Pada Harga RM4 Juta

Rumah Allahyarham Sharifah Aini Dirobohkan & Dibeli Oleh Pemaju Pada Harga RM4 Juta

Anak Allahyarham, Aliff Omar Ali, mengambil keputusan untuk menjual kediaman tersebut kerana terlalu besar serta kos penyelenggaraannya yang tinggi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Allahyarham Datuk Sharifah Aini merupakan seorang biduanita negara di samping Saloma. Beliau telah meninggal dunia pada 5 Julai 2014 ketika berumur 61 tahun disebabkan oleh fibrosis paru-paru.

Penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu meninggalkan seorang anak lelaki, Aliff Omar Ali.

Terkini, media melaporkan kediaman mewah milik Allahyarham telah dirobohkan pada bulan lalu oleh syarikat pemaju, Al-Anbia Sdn Bhd.


Syarikat Pemaju Beli Kediaman Mewah Dengan Harga RM4 Juta

Kediaman dua tingkat itu telah dibeli oleh syarikat pemaju dengan harga sekitar RM4 juta. Wakil syarikat pemaju, CT Tang, berkata pihaknya pada mulanya tidak mengetahui bahawa kediaman tersebut merupakan milik Sharifah Aini.

Katanya, mereka terkejut apabila masuk ke salah satu ruang di dalam kediaman itu yang dipenuhi koleksi kaset dan cakera padat bekas penyanyi tersohor negara itu.

“Saya masuk ke salah satu bilik, saya nampak banyak kaset, CD lama milik Sharifah Aini. Saya terkejut. Sebelum proses robohkan rumah dijalankan, saya tidak tahu itu rumah dia (Allahyarham Sharifah Aini).

“Saya tertanya-tanya ini siapa punya rumah. Rumah ini datang dengan reka bentuk dan kayu mahal yang lama. Semua kaset disusun rapi dalam bilik tersebut,” katanya dipetik Awani.


Bangunan Pejabat Pengurusan Tiga Tingkat Akan Dibina Di Tapak Kediaman

Tang berkata projek pembangunan di tapak kediaman yang terletak di Petaling Jaya itu merangkumi pembinaan sebuah bangunan pejabat pengurusan. Bangunan tiga tingkat itu dijangka siap dalam masa tiga bulan.

Mengulas lanjut, Tang berasa kagum dan memuji reka bentuk asal kediaman berkeluasan 20,000 kaki persegi terbabit.

Memang sangat cantik reka bentuk rumah asal ini.

Wakil Al-Anbia Sdn Bhd, CT Tang.

Dalam masa sama, seorang buruh yang ditemui pihak Awani memaklumkan bahawa kesemua kaset dan CD Allahyarham telah dibawa keluar sekitar sebulan lalu.

Sumber gambar: Property Guru

Kediaman Dijual Kerana Kos Penyelenggaraan Terlalu Tinggi

Menurut seorang kenalan terdekat Allahyarham yang enggan dikenali, keputusan menjual banglo itu diambil oleh Aliff memandangkan kediaman itu terlalu besar didiami empat beranak serta kos penyelenggaraan terlalu tinggi.

“Rumah itu terlalu besar untuk didiami empat beranak. Itu tidak termasuk kos selenggara yang mahal. Saya difahamkan bil elektrik sahaja mencecah RM2,000 sebulan. Aliff tiada pilihan lain selain menjual rumah tersebut,” katanya,

Malah, barangan peribadi, termasuk yang berkaitan kerjaya seninya, telah dipindahkan ke tempat lain.


“Kerajaan Patut Beli & Pelihara Rumah Itu” – Kenalan Rapat Allahyarham

Kenalan kepada Allahyarham itu berpandangan bahawa kerajaan sepatutnya memelihara dan mempromosi kediaman tersebut yang dimiliki seorang biduanita negara sebelum ini.

“Pada pandangan saya, kerajaan sepatutnya mempunyai inisiatif untuk membeli seterusnya memelihara dan mempromosi kediaman termasuk barangan penyanyi legenda itu.

“Ini memandangkan Allahyarham merupakan seorang biduanita negara dan sudah semestinya dapat memberi peluang kepada para peminat dan orang ramai melihat sendiri daripada dekat. Namun segala keputusan terpulang kepada Aliff sebagai satu-satunya anak Allahyarham,” katanya.

Tambahnya, dia yang mempunyai banyak memori di kediaman itu berasa sedih dengan perobohan banglo tersebut.

Ketika arwah masih ada, saya sering ke sana. Meluangkan masa bersama ketika arwah sudah tidak berapa sihat.

Kenalan rapat Allahyarham Sharifah Aini.

Pihak Awani juga dimaklumkan bahawa beberapa perabot telah dijual kepada rakan dan ahli keluarga setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

Sumber gambar: Property Guru

Allahyarham Sering Terima Kedatangan Anak-Anak Tahfiz

Terdahulu, berita penjualan hartanah milik Allahyarham telah tersebar sejak 2018 dan diiklankan pada harga RM8 juta.

Dinyatakan bahawa banglo tersebut yang terletak berhampiran LRT Taman Jaya, Padang Timur MBPJ dan Amcorp Mall adalah hak milik Allahyarham Sharifah Aini dan disertakan dengan beberapa gambar luaran serta dalaman kediaman terbabit.

Di samping itu, kediaman mewah tersebut sering dihadiri rakan media, kenalan dan anak-anak tahfiz ketika majlis doa selamat sewaktu Allahyarham masih hidup.

Untuk makluman, kediaman dua tingkat itu sebelum ini mempunyai sembilan bilik tidur, tujuh bilik air, dewan acara, lima ruang tamu, dua dapur serta perpustakaan.

Sumber gambar: Property Guru

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd