Now Reading
“Malaysia Sedia Jalin Kerjasama Dengan Indonesia Hantar Pasukan Pengaman Ke Palestin” – Anwar Ibrahim

“Malaysia Sedia Jalin Kerjasama Dengan Indonesia Hantar Pasukan Pengaman Ke Palestin” – Anwar Ibrahim

Perkara tersebut telah dibincang menerusi perbualan telefon antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Terpilih Indonesia Prabowo Subianto.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Genosid di Palestin masih berterusan sejak bermulanya serangan pada 7 Oktober tahun lalu.

Setakat artikel ini ditulis, Anadolu Ajansi melaporkan angka korban melibatkan rakyat Palestin mencecah 37,900, manakala sekurang-kurangnya 87,000 tercedera.

Terkini, penduduk Palestin telah diarahkan meninggalkan Khan Younis semalam (1 Julai), yang mengisyaratkan bahawa bandar itu akan diserang tentera Israel.

Baca Artikel Berkaitan: 8 Warga Palestin Terkorban Di Lokasi Tempat Pengedaran Bantuan UNRWA, Mayat Dibalut Guna Selimut


Anwar Ibrahim Sambut Baik Gagasan Kerjasama Dalam Misi Pengaman Antarabangsa Malaysia-Indonesia

Semalam (1 Julai), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika menerima mandat dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan Indonesia dalam aspek penugasan pasukan pengaman ke tanah suci itu.

Perkara itu dimuat naik ke laman Facebook Anwar Ibrahim setelah perbincangannya menerusi perbualan telefon dengan Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan Prabowo Subianto.

Tambahnya lagi, dia menyambut baik gagasan kerjasama antara kedua-dua negara itu dalam misi pengaman antarabangsa dan kolaborasi yang boleh diperluas di peringkat rantau ASEAN.


Anwar & Prabowo Tukar Pandangan Isu Semasa

Di samping itu, kedua-dua pemimpin negara itu turut bertukar pandangan mengenai isu semasa.

“Dalam perbualan kira-kira tiga minit itu, kami juga sempat bertukar pandangan mengenai isu semasa, khususnya peranan Prabowo dalam mewakili Indonesia ke persada antarabangsa akhir-akhir ini dan membawa visi, kolaborasi serta keamanan serantau dan sejagat.

“Menyentuh situasi kemanusiaan di Palestin, saya maklumkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama termasuk dalam aspek penugasan pasukan pengaman bersama Indonesia sekiranya diberi mandat oleh PBB,” katanya.


Prabowo Baru Selesai Menjalani Pembedahan

Anwar turut menzahirkan kesyukuran atas kejayaan Prabowo menjalani pembedahan pada minggu lepas serta mendoakan kesembuhannya.

“Turut mendoakan agar Prabowo diberikan rawatan baik dan penjagaan rapi sepanjang tempoh pemulihan selain diberikan kesembuhan segera untuk bingkas kembali melaksanakan tanggungjawab diamanahkan,” kata beliau.

Untuk makluman, Prabowo menjalani pembedahan bagi pemulihan kecederaan pada kaki kirinya yang disebabkan oleh kemalangan terjunan udara ketika bertugas dalam tentera pada tahun 1980-an.

Akhirnya, Anwar turut berkongsi harapan agar pilihan raya Indonesia yang akan berakhir dengan Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) pada 27 November tahun ini akan berlangsung dengan baik dan dipermudah.

“Moga segala persediaan untuk pelantikan Prabowo sebagai Presiden pada 20 Oktober 2024 akan berjalan dengan lancar,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Lebih 274 Rakyat Palestin Syahid Di Nuseirat, Tentera Israel Selamatkan 4 Tahanan

Baca Artikel Berkaitan: Berganding Bahu, Khairul Aming & Sofyank Hasilkan Video Beri Gambaran Keadaan Di Palestin


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd