Now Reading
‘Wailing Wall of Death 2’ PPIM Dikritik, Paparkan Maklumat Mengelirukan Tentang Kematian Akibat Vaksin

‘Wailing Wall of Death 2’ PPIM Dikritik, Paparkan Maklumat Mengelirukan Tentang Kematian Akibat Vaksin

Antara sebab kematian yang dipaparkan ialah masalah jantung dan kanser payudara tanpa sebarang kaitan jelas dengan vaksin COVID-19.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada Januari 2022, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan Pusat Aduan Terkesan Vaksin (PATV) di pejabatnya di Villa Puteri Condominium, Kuala Lumpur.

Pusat aduan tersebut bertujuan untuk membantu mereka yang mengalami kesan sampingan pengambilan vaksin COVID-19 dengan menawarkan bantuan kaunseling dan akses perubatan.


PPIM Dakwa Terima 300 Aduan Setelah Sebulan PATV Dibuka

Menurut Malaysia Gazette, PPIM mendakwa telah menerima sekitar 300 aduan sehingga Februari 2022. Ketika itu, ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata dia menganggarkan angka tersebut akan meningkat.

Nadzim berkata ramai orang yang buntu dan tidak tahu langkah perlu diambil bagi mengurangkan kesan sampingan akibat suntikan vaksin tersebut.

PPIM sebelum ini lantang bersuara terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan mendesak kerajaan agar mengkaji semula keperluan pemberian dos vaksin penggalak.

Tambah Nadzim, PPIM tidak bersifat anti-vaksin, tetapi mahukan jawapan yang jelas berkenaan keselamatan vaksin tersebut.

Di samping bersuara menentang pemberian vaksin COVID-19, PPIM juga membantu mereka yang menjadi mangsa penipuan dan pinjaman wang Ah Long.


Tular Gambar ‘Wailing Wall of Death 2’ PPIM

Baru-baru ini, PPIM menerima kritikan orang ramai setelah tular gambar ‘Wailing Wall of Death 2’ yang didakwa mengandungi maklumat yang mengelirukan tentang kematian sesetengah individu.

Gambar yang dimuat naik oleh seorang pengguna X, Mustakim Ismail (@mustakim_ismail), menunjukkan sebahagian daripada ‘Wailing Wall of Death 2’ dan satu dinding yang memaparkan montaj berita dan hantaran di media sosial tentang sebab kematian.


Kematian Yang Dipaparkan Bukan Disebabkan Oleh Vaksin

‘Wailing Wall of Death 2’ dikatakan memaparkan jumlah kematian yang disebabkan oleh komplikasi suntikan vaksin dalam bentuk obituari.

Walau bagaimanapun, beberapa pengguna media sosial mempersoalkan maklumat pada montaj tersebut kerana kematian yang dinyatakan bukanlah disebabkan oleh suntikan vaksin.

Sebaliknya, individu tersebut meninggal dunia disebabkan oleh pelbagai masalah kesihatan tanpa sebarang kaitan jelas dengan vaksin COVID-19.

Kes 22 ialah tentang kematian seorang bekas peguam dan ikon fesyen, Allahyarham Mohd Nizam Khamis, atau lebih dikenali sebagai Jiman Casablancas.

Menurut montaj yang dipaparkan, dia didakwa telah menerima dua dos vaksin Pfizer tetapi menyuarakan kebimbangan untuk mengambil dos penggalak. Namun begitu, tiada sebarang indikasi sama ada arwah telah mengambil dos ketiga.

Kosmo melaporkan bahawa kematiannya disebabkan oleh masalah jantung yang berlaku kerana terdapatnya darah beku setelah arwah terjatuh di rumah seorang rakannya.

Seterusnya, kes 56 ialah tentang seorang wanita yang merupakan bekas jurubank pelaburan serta ahli strategi dan pemimpin di JP Morgan Chase, Allahyarhamah Surina Shukri.

Dia juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kematiannya dilaporkan di dalam berita.

Menurut maklumat pada montaj, tiada sebarang rekod vaksin yang diterima oleh Surina, tetapi dia telah mengalami kanser payudara sejak tahun 2019.

Laporan oleh Astro Awani mendedahkan bahawa Surina telah mengalami kanser sejak tahun 2015 dan bebas kanser selama dua tahun selepas menerima rawatan di United Kingdom.

PPIM memaklumkan kepada pihak TRP bahawa pameran tersebut masih berlangsung dan dibuka untuk tontonan umum di pusat aktiviti mereka di Villa Puteri Condominium.

Mengulas lanjut, ketika ditanyakan menerusi WhatsApp kaedah yang digunakan bagi mengesahkan kematian disebabkan oleh kesan sampingan vaksin, jurucakap PPIM berkata kami boleh berjumpa Nadzim sendiri dan akan “diterangkan segalanya mengenai sebab fenomena ini terjadi.”


Orang Ramai Persoal Tindakan PPIM

Orang ramai kelihatan keliru dengan ‘Wailing Wall of Death 2’ dan montaj ‘kes-kes’ yang dipaparkan oleh PPIM.

Mereka mendapati penggunaan gambar-gambar tersebut sebagai ‘dakwaan’ bahawa vaksin menyebabkan kematian ialah mengelirukan kerana tiada bukti kukuh yang disertakan.

Seorang pengguna X, Abang Roy (@roykage), turut bertanya jika PPIM telah menerima persetujuan daripada pihak keluarga untuk memaparkan ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia sebegitu rupa.

Dia turut menggesa orang ramai agar menghadiri ‘pameran’ tersebut untuk menyemak jika PPIM ada menyalahgunakan gambar dan maklumat arwah atau mendiang keluarga mereka.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd