Now Reading
Suami Meninggal Dunia Akibat Kematian Otak, Wanita Derma Organ Arwah

Suami Meninggal Dunia Akibat Kematian Otak, Wanita Derma Organ Arwah

Walaupun ditentang oleh keluarga mentua dan keluarganya sendiri, dia membuat keputusan untuk mendermakan hati, jantung, buah pinggang dan kornea arwah suaminya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pendermaan organ bukanlah sesuatu yang asing lagi di Malaysia. Mereka yang berikrar untuk menderma organ akan diambil sebahagian organ atau tisu daripada tuduh badan untuk tujuan pemindahan kepada individu lain akibat kegagalan atau kerosakan organ.

Di Malaysia, organ yang boleh didermakan ialah jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang, manakala tisu pula merangkumi injap jantung, mata (kornea), tulang dan kulit.

Setakat artikel ini ditulis, terdapat seramai 9,455 pesakit dalam senarai menunggu organ dari penderma selepas kematian, majoriti daripadanya memerlukan buah pinggang. Walaupun jumlah pengikrar organ mencecah 385,000, namun hanya terdapat 909 jumlah penderma sebenar selepas kematian setakat April tahun ini sejak tahun 1976.


Arwah Suami Disahkan Kematian Otak Secara Tiba-Tiba

Terbaharu, berita melaporkan seorang wanita yang membuat keputusan untuk mendermakan organ suaminya yang telah meninggal dunia.

Mashita Ramli, berumur 42 tahun, berkata dia merasakan seolah-olah suaminya masih hidup memandangkan telah menjadi sebahagian daripada orang lain.

Pada 31 Disember 2022, arwah suaminya telah disahkan kematian otak setelah dibawa ke hospital. Menurut Mashita, tiada sebarang tanda bahawa Allahyarham sakit, tetapi secara tiba-tiba tidak sedarkan diri pada suatu pagi.

“Doktor di Hospital Selayang yang merawatnya mendapati dia telah kematian otak. Otaknya telah bengkak akibat pendarahan dalaman yang tiada sebarang kesan fizikal,” katanya dipetik The Star.

Tambahnya lagi, pihak hospital telah melakukan dua ujian yang memastikan suaminya telah benar-benar meninggal dunia sebelum mengambil organnya. Walaupun ditentang oleh keluarga mentua dan keluarganya sendiri, dia membuat keputusan untuk mendermakan hati, jantung, buah pinggang dan kornea arwah suaminya.

Untuk makluman, penderma yang kematian otak (disahkan meninggal dunia di hospital) boleh mendermakan kesemua organ dan tisu yang dibenarkan, sebaliknya kematian akibat jantung terhenti hanya boleh mendermakan tisu.

Gambar sekadar hiasan (Sumber gambar: Unsplash)

“Rasa Sebahagian Diri Suami Masih Hidup” – Isteri

Mashita berkata dia yakin mahu mendermakan organ arwah suaminya setelah berjumpa dengan seorang ustaz yang menerima buah pinggang dari ibu saudaranya. Katanya perkara itulah yang mengubah pandangannya setelah melihat seseorang menjalani kehidupan bahagia akibat pendermaan organ.

“Saya tidak rasa yang suami saya telah pergi. Dia masih sangat muda untuk meninggal dunia pada umur 40 tahun. Saya rasa sebahagian dirinya masih hidup di suatu tempat, dan bagi saya serta anak-anak, mengetahui jantungnya masih berdegup memberikan kami sedikit kebahagiaan.

“Kami berharap kami terus direstui atas kebaikan ini dan sesiapa yang menerima organ tersebut menjalani kehidupan yang sihat,” katanya.

Dalam masa sama, Mashita percaya orang ramai patut mendaftar bagi pendermaan organ, terutamanya orang Islam memandangkan ia dapat memberi peluang kedua serta menyelamatkan nyawa orang lain.


Tidak Perlu Lagi Jalani Proses Dialisis Selepas Lakukan Pemindahan Buah Pinggang

Seorang wanita yang menerima buah pinggang, Marina Mocktar, berkata kehidupannya kembali seperti sediakala setelah pemindahan dilakukan. Katanya proses dialisis sebelum itu membataskan pengambilan makanan dan minuman serta dia tidak boleh melancong jauh. Namun dia bersyukur atas peluang kedua dengan pemindahan organ itu.

“Saya dapat menikmati kehidupan lebih baik tanpa penghalang seperti sebelum ini. Namun senarai menunggu untuk pemindahan buah pinggang adalah lama dan tidak ramai pengikrar walaupun ia boleh dilakukan menerusi MySejahtera.

“Kadangkala ahli keluarga tidak bersetuju, jadi amat penting untuk memaklumkan kepada mereka keputusan untuk menjadi penderma organ,” katanya.

Marina berkata dia harus menunggu lama dan melalui 10 pemeriksaan perubatan sebelum melakukan pemindahan buah pinggang.

Gambar sekadar hiasan (Sumber gambar: Unsplash)

Umat Islam Diharuskan Menderma Organ

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mendermakan organ adalah harus hukumnya, namun perlu dilakukan di atas keizinan tuan badan.

Pemindahan organ tidak boleh dilakukan dengan niat jahat seperti menghina dan menyiksa mayat serta bagi tujuan jual beli, tetapi semata-mata untuk menyelamatkan nyawa.

Allah SWT telah berfirman:

وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya”

Surah al-Maidah (32)

Walaupun begitu, pemindahan testis dan rahim adalah diharamkan memandangkan ia berkait rapat dengan nasab keturunan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd