Now Reading
Rasulullah SAW Larang Perbuatan Mengambil Tempat Duduk Orang Lain Ketika Di Masjid

Rasulullah SAW Larang Perbuatan Mengambil Tempat Duduk Orang Lain Ketika Di Masjid

Di sisi mazhab Syafie, orang yang datang kemudian diwajibkan agar beredar daripada tempat tersebut sekiranya individu yang telah duduk dahulu kembali semula.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada setiap hari Jumaat, kaum Muslimin pasti akan memenuhi masjid bagi menunaikan tuntutan solat Jumaat.

Kebiasaannya, ruangan masjid akan dipenuhi sehingga menyebabkan sesetengah jemaah yang tiba lambat terpaksa menunaikan solat di luar masjid dan di atas jalan yang dilapikkan tikar.

Namun begitu, terdapat juga keadaan di mana mereka yang tiba lambat ke masjid masih ingin bersesak-sesak, malah lebih teruk lagi sehingga mengambil tempat duduk orang lain.


Individu Ambil Tempat Duduk Kanak-Kanak Yang Bangun Untuk Simpan Kitab

Seorang individu, Kayrollz Nasri, berkongsi di akaun Facebook miliknya berkenaan satu situasi ketika dia di masjid sementara menunggu solat Jumaat.

Menurutnya, dia telah menyaksikan seorang jemaah mengambil tempat jemaah lain. Katanya tempat tersebut pada mulanya diduduki oleh seorang kanak-kanak yang sedang membaca kitab.

Apabila kanak-kanak terbabit berdiri untuk menyimpan kitab tersebut, seorang lelaki segera mengambil tempat tersebut dan terus mengangkat takbir bagi menunaikan solat sunat.

Setelah selesai solat sunat, individu terbabit tidak mengendahkan kanak-kanak tersebut dan terus duduk di situ.


Tempat Lebih Berhak Kepada Mereka Yang Duduk Di Situ Dahulu

Menurut Kayrollz, perkara ini sebenarnya dilarang berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu ‘Awanah, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ مِنْ مَجْلِسِهِ، ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهِ فَهُوَ أَحَقُّ بِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bangun dari tempat duduknya, kemudian dia kembali semula kepada tempat itu, maka dia lebih berhak dengannya (tempat tersebut).”

Riwayat Muslim (2179)

Berdasarkan hadis di atas, kanak-kanak lelaki tadi lebih berhak ke atas tempat di dalam saf itu memandangkan dia telah duduk di situ pada mulanya.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, jika seseorang yang meninggalkan tempatnya untuk urusan yang ringkas seperti meletakkan al-Quran atau mengambil wuduk, dan dia menandakan tempat duduknya, dia boleh meminta orang yang datang kemudian untuk bangun dan meninggalkan tempatanya itu.

Di sisi mazhab Syafie, orang yang datang kemudian diwajibkan agar beredar daripada tempat tersebut sekiranya individu yang telah duduk dahulu kembali semula.

Malah, menurut Imam al-Nawawi, orang yang meninggalkan tempat tersebut lebih berhak dengannya sama ada dia meletakkan tanda ataupun tidak. Perkara ini juga tidak berbeza sama ada individu tersebut meninggalkan tempat duduknya sebelum atau selepas masuknya waktu solat.

Akan tetapi, haknya ke atas tempat duduk akan terbatal jika dia meninggalkan tempat duduknya tanpa sebarang keuzuran.


Jemaah Tak Boleh ‘Cop’ Tempat Dalam Masjid

Selain daripada keadaan seperti di atas, ada pula jemaah yang diminta mengosongkan suatu tempat atas alasan ia merupakan ‘milik’ jemaah lain, walaupun kosong pada mulanya dan tidak diletakkan sebarang tanda.

Perkara ini sebenarnya dilarang kerana seseorang individu tidak mempunyai hak ke atas tempat tersebut.

Rasulullah SAW melarang sesiapa yang menyuruh seorang individu di suatu tempat (dalam saf) untuk bangun seperti hadis daripada Ibnu Omar, Rasulullah SAW bersabda:

نَهَى ‌أَنْ ‌يُقَامَ ‌الرَّجُلُ مِنْ مَجْلِسِهِ وَيَجْلِسَ فِيهِ آخَر.

Maksudnya: “Nabi SAW melarang perbuatan menyuruh seseorang itu bangun dari tempatnya supaya orang lain dapat duduk di tempat itu.”

Riwayat al Bukhari (6270)

Sumber gambar: Unsplash

Tempat Boleh Dikhaskan Untuk Mereka Yang Mengajar Al-Quran

Malah, masjid juga merupakan rumah Allah dan tidak sepatutnya ada tempat yang khusus untuk seseorang individu. Berdasarkan riwayat daripada Aisyah R.A., beliau bertanya kepada Rasulullah SAW untuk mendirikan sebuah tempat berteduh buat Baginda di Mina. Lalu Baginda menjawab:

لَا، مِنًى مُنَاخُ مَنْ سَبَقَ

Maksudnya: “Jangan (membinanya untuk aku). Mina itu adalah tempat persinggahan siapa sahaja yang lebih dahulu (sampai kepadanya).”

Riwayat al-Tirmizi (881)

Namun Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan terdapat pengecualian tertentu yang diberi kepada para ulama yang datang ke suatu tempat bagi urusan pengajian.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menurut mazhab Syafie, sesiapa yang melazimi suatu tempat tertentu di dalam masjid untuk memberi fatwa atau mengajar al-Quran serta lain-lain ilmu syarak, maka dia lebih berhak dengan tempat tersebut.

Sumber gambar: Unsplash

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd