Now Reading
[Video] Isteri Boleh Minta Cerai Kalau Suami Suka Maki Hamun & Pukul, Jelas UAI

[Video] Isteri Boleh Minta Cerai Kalau Suami Suka Maki Hamun & Pukul, Jelas UAI

Walau bagaimanapun, seorang wanita tidak boleh meminta cerai sekiranya suaminya baik dan tidak mempunyai kesalahan terhadap isterinya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Perkahwinan merupakan ikatan hubungan di antara seorang wanita dan seorang lelaki yang ingin menjalani kehidupan dan berkongsi kasih bersama-sama.

Tidak dinafikan, terdapat banyak kemanisan di dalam hubungan rumah tangga, namun ada juga cabaran-cabarannya terutama apabila sikap pasangan yang sudah mula berbeza berbanding ketika di alam percintaan dulu.

Antara cabaran terbesar seorang wanita adalah mempunyai suami yang panas baran, suka memaki hamun dan memukul isterinya.

Isteri boleh minta cerai kalau suami kaki pukul dan maki hamun

Pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI berkata, seorang isteri boleh meminta cerai kepada suaminya jika lelaki itu seorang yang kaki pukul dan kuat memaki hamun.

“Kalau kita (isteri) sudah tidak sanggup duduk dengan suami yang jahat, jadi ada lima sebab kita boleh minta cerai termasuklah duduk dalam keadaan tak dapat hidup dengan baik.

“Asas perkahwinan supaya kamu (suami) duduk baik-baik dengan isteri. Kalau sudah asyik maki hamun, angkat tangan selalu, pukul isteri dan sebagainya, nafkah memang dah tak bagi dah kalau yang macam ini, maka hukumnya isteri boleh minta cerai,” katanya.

Isteri tak boleh minta cerai kalau suami baik dan tiada salah

Menurutnya, walau bagaimanapun, seorang wanita tidak boleh meminta cerai sekiranya suaminya baik dan tidak mempunyai kesalahan terhadap isterinya.

Ujar UAI, mana-mana isteri yang sengaja meminta cerai kepada suaminya dengan ketiadaan keburukan atau apa-apa, maka haram wanita itu untuk masuk ke dalam syurga.

Tegasnya, seorang suami yang suka memaki hamun atau memukul isterinya disifatkan sebagai tidak mempunyai iman di dalam diri.

“Marah (isteri) boleh, tapi maki dan marah lain, Nabi pun marah isteri, tapi Nabi tak maki isteri, Tak usah cakap maki isteri, (orang) maki ayam pun Nabi marah,” katanya lagi.

UAI berkata demikian selepas diajukan soalan tentang apakah hukum sekiranya isteri lari daripada suami yang suka maki dan naik tangan dalam satu sesi soal jawab agama di sebuah masjid pada baru-baru ini.

Info Berkaitan Kes Keganasan Rumah Tangga

Untuk info, sekiranya anda merupakan salah seorang mangsa atau mahu melaporkan kes keganasan rumah tangga, anda boleh melaporkan kejadian di:

  • Balai Polis berhampiran atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan yang berhampiran
  • Hubungi Talian Kasih 15999
  • Rujuk ke hospital berhampiran sekiranya dicederakan

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes ini, anda boleh layari portal Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd