Now Reading
“Orang Melayu Mula Berpecah Di Bawah Pemerintahan Tun M” – Penganalisis

“Orang Melayu Mula Berpecah Di Bawah Pemerintahan Tun M” – Penganalisis

Antara peristiwa yang menyebabkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO berpecah ialah keputusan Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mendakwa masyarakat Melayu mula berpecah setelah perletakan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada 2003.

Katanya, sebahagian besar kaum Melayu sebelum itu bersatu di bawah parti politik tersebut ketika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003.

Dua orang penganalisis politik, Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre dan Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), walau bagaimanapun tidak bersetuju dengan dakwaan ini.


Pemecatan Anwar Ibrahim Sebagai Timbalan PM Sebabkan Sokongan Melayu Berpecah

Mengulas lanjut, mereka berkata bahawa wujudnya perbalahan dalam kalangan masyarakat Melayu akibat konflik dalaman yang timbul sewaktu tampuk pemerintahan UMNO dipegang oleh bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Hisomuddin, asas sokongan Melayu terhadap UMNO mula berpecah akibat keputusan Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan timbalannya ketika itu pada tahun 1998.

“Akibatnya, PAS mendapat manfaat dengan (dapat) menambah kerusi Parlimennya, memperoleh 20 lebih kerusi berbanding PRU sebelum itu,” katanya dipetik FMT.


Pembentukan Bersatu Pecahkan Sokongan Melayu

Ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada tahun 1999, PAS telah bertanding sebagai sebahagian daripada Barisan Alternatif, iaitu gabungan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Nasional (PKN), DAP dan beberapa parti lain.

Dalam PRU tersebut, Barisan Alternatif memenangi 42 kerusi dengan 27 daripadanya (64%) dipegang oleh PAS.

Tambah Hisomuddin, masyarakat Melayu menjadi lebih berpecah belah apabila Mahathir menubuhkan Bersatu, yakni sebuah parti serpihan UMNO. Parti tersebut kemudiannya bertanding pada PRU14 pada tahun 2018 bersama Pakatan Harapan (PH).


UMNO Retak Apabila Musa Hitam Meletak Jawatan Pada 1986

Dalam masa sama, Mazlan berkata terdapat krisis lain yang berlaku sewaktu pemerintahan Tun M sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, iaitu peletakan jawatan Tun Musa Hitam pada 1986.

Tun Musa Hitam yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri serta Timbalan Presiden parti menyebabkan UMNO retak akibat peletakan jawatannya.

“Pada 1987, UMNO juga menghadapi krisis dan akhirnya diharamkan, membawa kepada pembentukan Semangat 46,” kata Mazlan.

Pengharaman parti politik ini terjadi apabila pemilihan parti penuh kontroversi sehingga membawa kepada pertikaian di mahkamah.

Akibat peristiwa ini, beberapa tokoh seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa sendiri telah bersatu dan membentuk Semangat 46 pada 1989, yang bertujuan bagi meneruskan ‘semangat penubuhan UMNO pada tahun 1946’.

Tambah Mazlan lagi, walaupun UMNO Baru (perkataan ‘Baru’ telah digugurkan pada tahun 1997) ditubuhkan dan Semangat 46 dibubarkan, pemecatan Anwar pada tahun 1998 menyebabkan ia berpecah semula.

“Semuanya berlaku pada zaman Mahathir,” kata Mazlan dipetik FMT.


Tun M Dakwa Masyarakat Melayu Teruk Berpecah Di Bawah Pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi & Najib Razak

Terdahulu, Tun M berkata parti Melayu terbesar itu mendapat sokongan tinggi orang Melayu sepanjang pemerintahannya.

Dia mendakwa bahawa penggantinya, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah menyebabkan parti itu merosot.

“Pada 2008, ketika beliau (Abdullah) bertanding pilihan raya, beliau kalah lima negeri. Itulah permulaan perpecahan dalam UMNO. UMNO menjadi sangat lemah dan rakyat tidak lagi menyokong UMNO,” katanya dipetik FMT.

Tambah Mahathir lagi, masyarakat Melayu lebih teruk berpecah di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak akibat penglibatannya dalam skandal kewangan, terutamanya 1MDB.

“Pada satu masa, orang Melayu bersatu dalam UMNO. Semua orang Melayu berada dalam UMNO, termasuk orang agama, berpendidikan Inggeris, berpendidikan Melayu – semua dalam UMNO.

“Tetapi, mereka meninggalkan UMNO apabila dibentuk parti politik (berbeza). (Jadi), orang Melayu berpecah kepada empat atau lima parti politik,” katanya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd