Now Reading
Kedai Makan Selamba Caj Pelanggan 10 Sen Jika Bayar Guna QR Kini Dicekup KPDN Melaka

Kedai Makan Selamba Caj Pelanggan 10 Sen Jika Bayar Guna QR Kini Dicekup KPDN Melaka

Menurut Pengarah KPDN Melaka, tindakan yang dilakukan oleh peniaga terbabit merupakan satu kesalahan dan pihaknya akan membuka kertas siasatan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Media semalam (26 Jun) mendedahkan seorang peniaga makanan di Medan Selera Jalan Tun Ali, Kampung Morten, Melaka mengenakan caj sebanyak RM0.10 bagi setiap RM10 harga makanan.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Twitter @MalaysiaGazette, peniaga terbabit mendakwa caj tambahan yang dikenakan itu adalah mengikut arahan bank dan bukannya secara sesuka hati.

Peniaga wanita berusia 60-an itu mendakwa caj pembayaran menggunakan kod QR itu telah dikenakan terhadap pelanggannya sejak dia menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai berkenaan.

KPDN Melaka tak tunggu lama, terus serbu kedai makan terbabit

Terbaharu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyerbu kedai makan berkenaan.

Serbuan pada pukul 10.40 pagi iaitu kurang daripada dua jam selepas videonya tular itu diketuai oleh Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar.

Menurutnya, hasil semakan mendapati peniaga wanita berkenaan mengaku mengenakan caj 10 sen bagi setiap RM10 pembayaran secara imbas kod QR.

Foto: MalaysiaGazette

Pihak bank sahkan tiada sebarang caj dikenakan kepada peniaga terbabit

“Peniaga berkenaan memberi alasan caj 1% itu dikenakan pihak bank terhadapnya sebelum dia ‘memindahkan’ kos itu kepada pelanggan tanpa sebarang notis pemakluman awal.

“Bagaimanapun hasil semakan kami, pihak bank mengesahkan tiada sebarang caj tambahan dikenakan terhadap peniaga terbabit seperti didakwa,” katanya.

Peniaga dikenakan kompaun RM200, kertas siasatan juga dibuka

Menurutnya lagi, susulan itu peniaga terbabit telah dikenakan kompaun RM200 kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Berkongsi lanjut, Norena berkata tindakan yang dilakukan oleh peniaga terbabit merupakan satu kesalahan dan pihaknya akan membuka kertas siasatan.

“Saya ingin menegaskan kenaikan sebegini tidak boleh dijadikan alasan susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar sejak awal bulan ini.

“Semua peniaga diingatkan agar mematuhi undang-undang dan tidak menaikkan harga sewang-wenangnya dengan memberi alasan tidak munasabah,” katanya lagi.

Foto: MalaysiaGazette

Terdahulu, perkara tersebut mula didedahkan wartawan MalaysiaGazette selepas seorang pelanggan dikenakan caj sebanyak 10 sen untuk harga makanan RM3.70.

Jelas, alasan yang diberikan oleh peniaga terbabit terhadap caj yang dikenakan itu adalah tidak munasabah sama sekali.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd