Now Reading
Ini 8 Keunikan & Info Tentang Masjidil Haram Yang Mungkin Ramai Tak Tahu

Ini 8 Keunikan & Info Tentang Masjidil Haram Yang Mungkin Ramai Tak Tahu

Masjidil Haram merupakan tempat paling suci bagi umat Islam serta masjid terbesar di dunia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap umat Islam pasti menyimpan hasrat untuk ke Masjidil Haram yang terletak di tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji mahupun umrah.

Merupakan masjid paling suci di dunia, Masjidil Haram menempatkan Kaabah atau Baitullah iaitu kiblat bagi umat Islam.

Selain menjadi kiblat bagi umat Islam, tahukah anda bahawa banyak lagi keunikan pada Masjidil Haram yang tidak dapat dijumpai di tempat lain?


8 Keunikan & Info Tentang Masjidil Haram

Seorang pengguna laman X, Mas Gres (@erlanishere), telah berkongsi lapan keunikan yang terdapat pada Masjidil Haram.

#1. Bangunan termahal di dunia

Siapa sangka bahawa tempat paling suci bagi umat Islam ini juga merupakan bangunan yang paling mahal di dunia.

Menurut Statisca, dianggarkan bahawa Masjidil Haram bernilai AS$100 bilion (RM472 bilion) yang jauh lebih mahal berbanding bangunan-bangunan terkenal lain seperti Marina Bay Sands di Singapura dan One World Trade Center di New York, Amerika Syarikat.

Bangunan kedua termahal di dunia pula ialah Abraj Al Bait, iaitu menara jam yang terletak di Mekah, dengan anggaran kos AS$16 bilion (RM75.5 bilion).

#2. Pernah dirampas kumpulan teroris

Amat mengejutkan juga apabila Masjidil Haram, salah satu tempat yang dianggap paling ketat peraturannya pernah dirampas oleh kumpulan teroris suatu masa dahulu.

Pada tahun 1979, sehingga 600 ahli teroris di bawah pimpinan Juhayman al-Otaybi, seorang warga Saudi anti-monarki, telah mengepung Masjidil Haram.

Rampasan itu dilakukan sebagai protes terhadap Dinasti Saud yang memerintah Arab Saudi. Tentera Saudi ketika itu mengambil masa selama dua minggu iaitu dari 20 November hingga 4 Disember untuk mengalahkan kumpulan teroris tersebut.

Insiden tersebut menyebabkan 117 ahli teroris dan 127 anggota keselamatan Arab Saudi terkorban. Malah lebih 100 jemaah ketika itu tercedera, dengan 26 daripada mereka terkorban akibat kecederaan.

#3. Sistem bunyi dan kejuruteraan yang kompleks

Dengan saiz yang amat besar, semestinya sistem bunyi merupakan satu komponen penting di Masjidil Haram. Apatah lagi untuk menyampaikan azan, iqamah, bacaan doa dan khutbah,

Gres berkata sistem bunyi dan kejuruteraannya di Masjidil Haram adalah cekap dan kompleks. Menurut Saudi Press Agency (SPA), sistem suara di Masjidil Haram mempunyai lebih 8,000 pembesar suara termasuk di halaman dan jalan raya di sekitarnya.

Malah, terdapat lebih 120 orang jurutera dan juruteknik yang bertanggungjawab terhadap sistem ini.

Sumber gambar: Unsplash
#4. Masjid terbesar di dunia

Bagi mengumpulkan jemaah dari seluruh dunia, sudah tentulah Masjidil Haram menjadi masjid terbesar di dunia. Dengan keluasan kira-kira 400.8 ribu meter persegi, ia dapat menampung sehingga empat juta jemaah dalam satu-satu masa.

Gres berkata, memandangkan ia terletak di tanah suci dan merupakan masjid yang paling utama, tiada masjid lain yang boleh lebih besar berbanding Masjidil Haram.

Sumber gambar: Unsplash
#5. Mempunyai 13 ribu tandas

Apabila tiba musim haji, Masjidil Haram pasti dipenuhi jemaah yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Bagi tahun ini, lebih 1.8 juta umat Islam telah memenuhi masjid terbesar itu.

Bagi menampung jumlah yang ramai ini, sebanyak 13 ribu tandas telah dibina yang dibersihkan setiap enam jam sekali. Menurut Gras, terdapat 1,800 tukang cuci yang bertanggungjawab bagi mengekalkan kebersihan tandas di sana.

#6. Terdapat 25 ribu dispenser air zam-zam

Air zam-zam yang berasal dari Telaga Zam-Zam dikenali sebagai sebaik-baik air di dunia. Apabila ke tanah suci, jemaah akan dapat menikmati air zam-zam yang tiada hadnya.

Gras berkata terdapat sekitar 25,000 dispenser air zam-zam yang terdapat di sekitar tanah suci dan berpendapat bahawa Masjidil Haram merupakan bangunan dengan sistem pengedaran air terbesar di dunia.

#7. Lantai yang kekal sejuk walaupun cuaca panas

Sewaktu musim panas di Mekah, keadaan di tanah suci boleh menjadi begitu hangat. Namun, lantai di Masjidil Haram kekal sejuk walaupun dalam keadaan cuaca panas.

Ini kerana lantainya diperbuat menggunakan batu marmar Thassos yang diimport dari Yunani, iaitu marmar paling putih dalam dunia. Ia juga antara yang paling mahal di dunia.

Kerana warnanya yang putih dan mempunyai pantulan cahaya yang tinggi, marmar Thassos mempunyai penyerapan haba yang rendah. Inilah sebabnya lantai tidak berasa panas.

Sumber gambar: Unsplash
#8. Penyediaan 10 ribu kerusi roda bagi para jemaah

Jemaah haji yang datang dari seluruh dunia tidak kira latar belakang, usia mahupun kesihatan tubuh badan.

Oleh itu, pihak pengurusan Masjidil haram telah menyediakan lebih 10,000 kerusi roda yang boleh digunakan secara percuma oleh mereka yang memerlukannya. Malah, terdapat juga kerusi roda elektronik yang boleh disewa.

Masjidil Haram juga mempunyai beberapa ruang solat yang dikhaskan bagi mereka yang kurang upaya.


Pemandu Pelancong Elektronik Mudahkan Para Jemaah

Memandangkan Masjidil Haram merupakan masjid terbesar di dunia, amat penting untuk para jemaah merujuk kepada peta agar tidak tersilap jalan.

Kini, para jemaah boleh merujuk kepada aplikasi pemandu pelancong elektronik seperti Al Maqsad yang lebih memudahkan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd