Now Reading
Boleh Ke Ambil MC, Tapi Selamba Keluar Jalan-jalan?

Boleh Ke Ambil MC, Tapi Selamba Keluar Jalan-jalan?

Pekerja yang melakukan perkara ini boleh didakwa dengan tindakan ‘malingering’ iaitu berpura-pura sakit untuk menghindari daripada melakukan tugasan atau kerja.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila anda berasa tidak sihat sehingga sukar untuk melakukan kerja, lebih baik jika segera berjumpa dengan doktor kesihatan bagi mendapatkan rawatan.

Kebiasaannya jika keadaan kesihatan anda tidak begitu bagus, doktor pasti akan memberikan sijil cuti sakit atau MC.

Namun setelah diberi MC, bolehkah anda keluar berjalan dan tidak segera pulang ke rumah untuk berehat?


Pekerja Berpura-Pura Sakit Boleh Dikenakan Tindakan

Seorang pengguna TikTok yang sering berkongsi berkenaan tempat kerja, Adalyna (@kerjazz), berkata majikan boleh mengambil tindakan terhadap pekerja yang ditemui keluar berjalan-jalan sedangkan diberi cuti sakit.

Menurutnya, jika doktor telah berikan MC, ia bermakna seseorang itu tidak larat untuk ke tempat kerja. MC tersebut bertujuan bagi membenarkan individu tersebut berehat di rumah sehingga sembuh.

Sumber gambar: TRP

Perbuatan keluar dengan niat untuk bersuka-ria boleh menjadi bukti bahawa seseorang individu itu memalsukan keadaan sakitnya. Perkara ini juga dikenali sebagai ‘malingering’, iaitu berpura-pura sakit untuk menghindari daripada melakukan tugasan atau kerja.

Ingat ya, majikan mempunyai hak untuk menyiasat dan mendapatkan pengesahan MC yang dikeluarkan oleh klinik atau hospital untuk memastikan ia benar-benar sah.

Jika seorang pekerja didapati melakukan kesalahan ini, pihak majikan boleh menolak MC yang dikeluarkan atau mengambil tindakan disiplin ke atasnya, malah menghentikan kerja.

@kerjazz MC tapi know know up status naik genting, kantoi busuk la bro🤭 #kerjazz #malaysia #foryou #fyp #worklife #MC #fypã‚· #kerja #aktakerja1955 #viral #malaysiatiktok ♬ original sound – Adalyna

Pekerja Diberi Peluang Serah Surat Tunjuk Sebab Dahulu

Namun sebelum seorang pekerja dikenakan tindakan atas penyalahgunaan MC, pihak majikan akan meminta individu tersebut agar menyerahkan surat tunjuk sebab terlebih dahulu.

Ini adalah bertujuan bagi memberi peluang kepada pekerja untuk memberikan sebab yang kukuh atas tindakannya.

Dalam satu kes membabitkan pekerja di Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd, pihak majikan telah menghentikannya atas tindakan penyalahgunaan MC.

Setelah diberi MC, pekerja terbabit didapati telah melancong ke Thailand bersama keluarganya dan memuat naik video ke akaun Instagramnya. Walaupun telah diberi peluang sebanyak dua kali untuk mengemukakan surat tunjuk sebab, namun dia gagal memberikan sebab yang wajar.

Pihak mahkamah mendapati tindakan majikan menghentikan pekerja tadi dilakukan atas alasan yang adil.


Arahan Habiskan Cuti Sakit Di Rumah Atau Hospital Bagi Penjawat Awam

Merujuk ke ruangan komen, seorang individu berkata perkara tersebut turut terpakai bagi penjawat awam seperti yang dinyatakan di dalam Perintah Am.

Bagi penjawat awam, berdasarkan Perintah Am, cuti sakit hendaklah dihabiskan di rumah atau hospital melainkan jika ditetapkan sebaliknya oleh seorang pegawai perubatan.

Seorang individu juga memaklumkan bahawa dia sendiri diminta oleh doktor agar keluar untuk berseronok dalam tempoh MC yang diberikan kepadanya.

Ada juga yang berkata dia telah terserempak dengan bos ketika sedang membeli barang sewaktu tempoh MC dan tidak dikenakan sebarang tindakan.

Oleh itu, boleh dikatakan bahawa perkara ini tertakluk kepada budi bicara doktor dan juga majikan.

Adalyna juga berkata keluar bagi mendapatkan barang keperluan adalah dibenarkan, tetapi bukan untuk bersuka ria.


Cuti Perlu Diganti Jika Pekerja Diberi MC Pada Hari Kelepasan Umum

Untuk makluman, cuti sakit merupakan hak seorang pekerja seperti yang tertakluk di bawah Seksyen 60F, Akta Kerja 1955.

Pekerja berhak mendapatkan cuti sakit sehingga 14 hari jika telah bekerja kurang dua tahun, 18 hari (dua hingga lima tahun) dan 22 hari bagi lebih lima tahun dengan suatu majikan.

Tetapi bagaimana pula jika anda jatuh sakit pada hari kelepasan umum? Adakah ini bermakna anda tidak perlu mendapatkan cuti sakit walaupun telah ke klinik?

Sumber gambar: Pexels

Menurut subseksyen 60D (1B), jika cuti sakit diberi pada hari sama kelepasan umum, majikan perlu memberi cuti lain sebagai ganti kepada pekerja tersebut.

Oleh itu, jika anda benar-benar tidak sihat pada hari kelepasan umum, tidak salah untuk dapatkan cuti sakit dari doktor agar cuti tersebut dapat digantikan pada hari lain.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Sering Berasa Tertekan Di Tempat Kerja? Ini Tips Elak Burnout


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd