Now Reading
8 Warga Palestin Terkorban Di Lokasi Tempat Pengedaran Bantuan UNRWA, Mayat Dibalut Guna Selimut

8 Warga Palestin Terkorban Di Lokasi Tempat Pengedaran Bantuan UNRWA, Mayat Dibalut Guna Selimut

Seorang saksi berkata beberapa individu sedang mengambil kupon bantuan, mengisi bekalan air dan berlindung sebelum lokasi tersebut diserang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Serangan rejim Israel ke atas tanah suci Palestin hampir memasuki bulan kesembilan sejak 7 Oktober tahun lalu. Jumlah korban telah mencecah 37,000 orang setakat ini.

Terkini, Israel telah melakukan serangan udara ke atas sebuah kolej latihan berhampiran bandar Gaza, yang digunakan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) bagi mengedarkan bantuan kepada para pelarian.

Serangan yang berlaku pada Ahad lalu (22 Jun) mengorbankan sekurang-kurangnya lapan warga Palestin dan memusnahkan sebahagian struktur kolej vokasional terbabit. Sementara itu, selatan bandar Rafah diserang rejim Zionis menggunakan kereta kebal.

Baca Artikel Berkaitan: Lebih 274 Rakyat Palestin Syahid Di Nuseirat, Tentera Israel Selamatkan 4 Tahanan

Baca Artikel Berkaitan: Tempat Perlindungan Rakyat Palestin Di Rafah Diserang, Malaysia Kutuk Kekejaman Israel


Penerima Kupon Bantuan Antara Terkorban

Menurut seorang saksi, Mohammed Tafesh, premis tersebut sedang dihadiri beberapa orang yang ingin mengambil kupon bantuan, mengisi bekalan air dan berlindung buat sementara waktu ketika itu.

Sebaik sahaja terdengar bunyi sesuatu jatuh, kesemua mereka cuba melarikan diri namun terlambat.

Kami mengeluarkan mayat (dari bawah runtuhan), antaranya penjual minuman sejuk dan pastri selain pengedar serta penerima kupon, yang terkorban dalam serangan kali ini.

Saksi kejadian, Mohammed Tafesh.

“Kira-kira lima maut, manakala 10 lagi cedera. Alhamdulillah, mangsa yang tercedera dalam keadaan baik,” katanya dipetik Reuters.

Dalam masa sama, jurugambar Reuters berkata dia melihat sebuah bangunan bertingkat rendah musnah. Katanya lagi mayat-mayat telah dibaluti selimut dan diletakkan di tepi jalan sebelum diambil.


Tentera Israel Dakwa Kolej Digunakan Oleh Hamas & JI

Sebaliknya, tentera Israel berkata lokasi tersebut digunakan oleh pejuang Hamas dan Jemaah Islamiah (JI) sebelum berfungsi sebagai ibu pejabat UNRWA. Tambahnya, mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga sebelum melancarkan serangan agar risiko ke atas orang awam dikurangkan.

“Jet tempur Tentera Udara israel (IAF), berpandukan risikan Tentera Pertahanan Israel (IDF) dan Agensi Keselamatan Israel (ISA), pagi semalam menyerang infrastruktur digunakan pejuang Hamas dan JI untuk beroperasi.

“Ini adalah contoh klasik eksploitasi sistematik Hamas terhadap infrastruktur dan penduduk awam yang dijadikan ‘perisai’ mereka dalam perang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, Hamas menafikan dakwaan menggunakan orang awam dan kemudahan awam sebagai perisai dan bagi tujuan ketenteraan.


193 Ahli UNRWA Telah Terbunuh Setakat Ini

Menurut Pengarah Komunikasi UNRWA, Juliette Touma, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas serangan tersebut sebelum mengeluarkan lebih maklumat.

Kami merekodkan hampir 190 bangunan milik UNRWA terkena serangan sejak perang bermula dan ini adalah sebahagian besar daripada bangunan kami di Gaza manakala 193 ahli pasukan UNRWA terbunuh dalam konflik ini.

Pengarah Komunikasi UNRWA, Juliette Touma.

Pengarah Perkhidmatan Ambulans & Kecemasan Kementerian Kesihatan Gaza Terkorban

Dalam satu kejadian lain pagi semalam (23 Jun), serangan udara telah dilakukan ke atas sebuah klinik di Bandar Gaza sehingga membunuh pengarah perkhidmatan ambulans dan kecemasan Kementerian Kesihatan Gaza, Hani Al-Jaafarawi, dan seorang kakitangan perubatan.

Menurut tentera rejim Israel, ‘operasi bersasar berpandukan risikan’ sedang dijalankan di sekitar Rafah. Dalam operasi tersebut, mereka telah menemui stor senjata dan terowong, serta membunuh seorang lelaki Palestin yang bersenjata.

Sebaliknya, tentera Israel telah diserang di Rafah oleh Hamas dan JI menggunakan roket anti-kereta kebal, bom mortar dan peranti letupan yang dipasang awal.

Di samping itu, dua orang bayi maut di Hospital Kamal Adwan, Beit Lahiya utara Semenanjung Gaza akibat kurang zat makanan. Ini menjadikan jumlah kanak-kanak maut akibat itu atau dehidrasi kepada 31 sekurang-kurangnya, dan didakwa mungkin kurang daripada jumlah sebenar.

Baca Artikel Berkaitan: Berganding Bahu, Khairul Aming & Sofyank Hasilkan Video Beri Gambaran Keadaan Di Palestin


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd