Now Reading
Jepun Dilanda Jangkitan Bakteria Pemakan Daging, Malaysia Akan Dapatkan Maklumat Lanjut Dari WHO

Jepun Dilanda Jangkitan Bakteria Pemakan Daging, Malaysia Akan Dapatkan Maklumat Lanjut Dari WHO

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat berkenaan STSS sebagai persediaan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes Sindrom Kejutan Toksik Streptokokus (STSS) telah melonjak di Jepun tahun ini dengan sebanyak 1,019 kes dicatatkan setakat 9 Jun lalu yang menunjukkan peningkatan mendadak berbanding tahun-tahun lalu.

Lebih dikenali sebagai jangkitan bakteria pemakan daging, Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan Jepun telah memberi amaran pada Mac apabila sebanyak 77 kematian dicatatkan, kebanyakannya membabitkan pesakit berusia 50 tahun ke atas.

Sebagai perbandingan, sebanyak 941 kes dilaporkan di Jepun bagi tahun 2023, namun sudah terdapat 977 kes setakat 2 Jun tahun ini.

Untuk info, Amerika Syarikat (AS) melaporkan 145 kes penyakit ini pada tahun 2021.


Malaysia Akan Ambil Langkah Sewajarnya

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, input dan maklumat lanjut berhubung penularan jangkitan itu di Jepun akan didapatkan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, perkara itu penting bagi menyediakan Malaysia dengan langkah-langkah persediaan yang sewajarnya.

Setakat ini, tiada sebarang kes jangkitan STSS dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).


Pesakit Diabetes Lebih Mudah Dijangkiti GAS

Penyakit STSS adalah jangkitan streptokokus invasif teruk yang disebabkan oleh bakteria Streptokokus Kumpulan A (GAS). Bakteria ini boleh ditemui pada tekak dan kulit dan banyak jangkitan menyebabkan penyakit ringan seperti sakit tekak.

Namun, jangkitan STSS mungkin terjadi apabila bakteria GAS masuk ke bahagian badan yang tidak biasa ditemui seperti darah atau otot.

Bakteria ini boleh disebar melalui titisan daripada cecair hidung atau tekak (air liur) dan melalui sentuhan kulit yang terbuka atau luka.

Di samping itu, individu yang mempunyai luka terbuka atau lebam, diabetes dan pengguna alkohol lebih berisiko mengalami jangkitan tersebut.


Kegagalan Organ Boleh Berlaku

Jangkitan STSS kebiasaannya dikenal pasti menerusi simptom awal seperti sakit tekak, demam, menggigil, sakit otot, loya dan gejala septik lain.

Tanda pertama jangkitan pula ialah ruam pada kulit yang kelihatan seperti selaran matahari (sunburn).

Pesakit akan mengalami tekanan darah rendah, kegagalan organ serta kadar jantung dan pernafasan yang cepat dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Jangkitan bakteria pemakan daging ini amat serius dengan tiga daripada 10 pesakit mungkin maut.


Tiada Vaksin GAS Setakat Ini

Jika anda mengesyaki dijangkiti bakteria pemakan daging ini, segeralah ke hospital.

Penyakit ini akan dirawat menggunakan antibiotik untuk melawan bakteria, di samping intervensi lain bagi merawat kegagalan organ. Malah, pembedahan juga mungkin perlu dilakukan bagi membuang tisu dalam badan yang telah dijangkiti.

Setakat ini, tiada suntikan vaksin yang boleh diberikan untuk mengelakkan jangkitan bakteria GAS dan penyakit STSS.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd