Now Reading
Jemaah Haji Hilang Ketika Melontar Di Mina, Kini Ditemui & Dijaga Oleh ‘Haji Aqil’

Jemaah Haji Hilang Ketika Melontar Di Mina, Kini Ditemui & Dijaga Oleh ‘Haji Aqil’

Menurut anak perempuannya, Farah Idriani, jemaah yang menemukan bapanya telah menghubunginya pada 1.50 pagi tadi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umat Islam di tanah suci Mekah sedang sibuk menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima.

Tidak kira tua atau muda, mereka yang berkemampuan pasti tidak melepaskan peluang untuk menyahut seruan haji. Malah, ada yang pergi seorang diri mengikut agensi yang menguruskan urusan haji tanpa ditemani ahli keluarga lain.


Warga Emas Hilang Ditemukan Di Lokasi Berhampiran

Hari ini (19 Jun), media melaporkan bahawa seorang jemaah haji warga emas telah ditemukan di lokasi berhampiran kali terakhir dilihat di Mina, Mekah.

Kehilangan Mohd Basharudin Shah, 60, itu telah dilaporkan pada pukul 7.15 pagi semalam (18 Jun) oleh mutawif.

Sehubungan itu, anak perempuannya, Farah Idriani, telah memuat naik status di akaun Facebook mengenai kehilangan Mohd Basharudin yang turut dikongsikan semula dalam kumpulan Jemaah Haji Malaysia 1445 Hijrah/2024 Masihi.

Dia turut memaklumkan bahawa kehilangan bapanya amat membimbangkan memandangkan warga emas itu menghadapi masalah darah tinggi dan strok.

“Kami bimbang ayah pengsan atau rebah kerana beliau pernah kena strok disebabkan darah tinggi akibat tekanan, tambahan telefonnya juga hilang menyebabkan sukar berhubung dengan wakil agensi atau keluarga,” katanya dipetik FMT.


Bapa Ditemui Oleh Jemaah Dari Malaysia

Mohd Basharudin ditemukan pada 1.15 pagi tadi oleh seorang jemaah dari Malaysia dengan keadaannya yang lemah serta duit dan telefon bimbitnya hilang. Dia telah dibawa berehat di Hotel Al-Refa Al-Sud.

Dikenali sebagai Haji Aqil, jemaah tersebut mendapat tahu tentang berita kehilangan Mohd Basharudin menerusi hantaran Facebook yang dikongsi rakyat Malaysia.

Merujuk di ruangan komen kumpulan jemaah haji, penemuannya telah dimaklumkan juga di dalam Group Umrah di Facebook.

Sumber: Kumpulan Facebook Jemaah Haji Malaysia 1445H/2024M

“Alhamdulillah selepas berita kehilangan ayah tular di media sosial, ada jemaah Malaysia menghubungi saya 1.50 pagi tadi beritahu ayah selamat dan bersamanya,” kata Farah dipetik FMT.

Malah, Farah mendapat tahu bahawa bapanya sebenarnya telah hilang selama dua hari, tetapi baru dimaklumkan oleh pihak agensi sekitar 6 pagi semalam.

Namun begitu, keadaan kesihatan Mohd Basharudin agak merosot setelah ditemui sehingga menyebabkan dia terpaksa menggunakan kerusi roda kerana tidak mampu berjalan seperti biasa.

“Selepas dapat maklumat tentang keberadaan ayah, saya terus hubungi jemaah tersebut pada pukul 6.30 pagi, waktu Malaysia, dan sehingga kini ayah masih berada di Hotel Al-Refa Al-Sud menunggu pihak agensi datang ambil,” katanya.


Warga Emas Tunaikan Haji Tanpa Ditemani Ahli Keluarga

Menurut Farah, bapanya telah keluar dari kumpulan sewaktu dalam perjalanan untuk melontar di jamrah. Perkara ini menyebabkan dia tidak dapat dijejak oleh kumpulannya sebelum dijumpai oleh jemaah dari kumpulan lain yang perasan tag dipakainya berbeza.

Farah berkata dia berasa sangat risau lebih-lebih lagi kerana tiada ahli keluarga lain menunaikan haji bersama bapanya yang ke tanah suci di bawah sebuah syarikat agensi pelancongan swasta.

“Saya sedih dan takut selepas dapat tahu ayah hilang di Mekah, kelam kabut kami mahu hubungi sanak saudara untuk beritahu berita tersebut, ayah pergi haji dalam keadaan sihat dan boleh berjalan.

“Setakat pukul 10.13 pagi tadi, saya hubungi pihak agensi untuk pastikan keberadaan ayah, namun diberitahu sehingga kini mereka masih belum sampai di lokasi hotel,” maklum Farah dipetik Kosmo.


Anak Masih Belum Hubungi Ayah

Farah berkata dia bersyukur kerana bapanya telah ditemui dan dijaga oleh Haji Aqil yang baik hati. Malah jemaah terbabit telah meminjamkan tempat penginapannya bagi Mohd Basharudin berehat sebelum dijemput pihak agensi.

Walau bagaimanapun, Farah masih belum dapat berhubungan dengan bapanya setakat ini.

“Lega lepas tahu ayah selamat walaupun setakat ini kami masih belum berjaya untuk bercakap dengan ayah kerana jemaah tersebut masih lagi sedang menunaikan ibadah haji.

“Buat masa sekarang, saya akan sedaya upaya untuk ambil tahu keadaan terkini ayah melalui jemaah-jemaah haji lain dan pihak mutawif yang menguruskan,” katanya.

Mohd Basharudin bukan satu-satunya jemaah warga emas dari Malaysia yang dilaporkan hilang. Antara kehilangan jemaah haji yang diuar-uarkan dalam kumpulan Facebook sama hari ini ialah Meriam Binti Awang dan Salleh Bin Hassan.

Seorang pengguna Facebook menasihati waris atau anak jemaah warga emas agar sentiasa membawa lanyard maklumat diri dan telefon bimbit sepanjang masa, walaupun ketika ke tandas.

Sumber: Kumpulan Facebook Jemaah Haji Malaysia 1445H/2024M

8 Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci

Terdahulu, media melaporkan lapan jemaah yang meninggal dunia di tanah suci Mekah ketika menunaikan ibadah haji. Lapan kematian tersebut membabitkan:

  • Abnil Hajar Ismail, 72 (24 Mei)
  • Mohd Zahir Ismail, 58 (29 Mei)
  • Ghazali Ahmad, 71 (7 Jun)
  • Noormadiah Mat Ali, 53 (7 Jun)
  • Zuraida Mohd Haris, 37 (10 Jun)
  • Mohd Shood, 65 (11 Jun)
  • Abdul Manaf Hanapiah, 75 (13 Jun)
  • Sapiah Jalil, 66 (16 Jun)

Kesemua jemaah terbabit meninggal dunia akibat masalah kesihatan, dengan tiga daripada mereka mengalami serangan jantung. Semoga mereka diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Baca Artikel Berkaitan: 8 Jemaah Haji Dari Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci Mekah Tahun Ini


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd