Now Reading
Mengapakah Masyarakat Bajau Laut Di Semporna Diusir & Rumah Diroboh?

Mengapakah Masyarakat Bajau Laut Di Semporna Diusir & Rumah Diroboh?

Pihak berkuasa menekankan bahawa proses pengusiran tersebut adalah mengikut undang-undang dan notis pengusiran telah diberikan terlebih dahulu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Minggu lepas, kecoh apabila tular video menunjukkan sebuah rumah milik masyarakat Bajau Laut di Semporna, Sabah dirobohkan dan dibakar.

Sehubungan itu, orang ramai mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam mengusir komuniti tersebut.

Persoalannya adakah benar pihak kerajaan yang membakar rumah masyarakat Bajau Laut itu?


Proses Pengusiran Mengikut Undang-Undang

Menurut Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, proses pengusiran dan perobohan rumah terbabit dijalankan mengikut undang-undang.

Malah, notis pengusiran telah diberikan kepada masyarakat di sana antara 2 dan 4 Mei lalu.

Jelasnya, sebanyak 273 rumah yang dibina secara haram di atas perairan Semporna telah diberi notis tersebut setelah sebuah perjumpaan yang dipengerusikan oleh Taman-Taman Sabah (TTS) dan Ketua Polis Daerah Semporna, Supritendan Mohd Farhan Lee Abdullah, diadakan pada 26 April.

Liew berkata, sewaktu operasi mengosong dan merobohkan dari 4 hingga 6 Jun, sebanyak 138 rumah di kawasan ‘hotspot’ telah dirobohkan.

Namun ada juga sesetengah penduduk yang merobohkan rumah mereka sendiri, manakala yang lainnya meninggalkan tempat itu.


Penduduk Didakwa Bakar Rumah Sendiri

Memetik sumber dari pihak polis, Liew berkata sesetengah pemilik membakar rumah mereka sendiri ketika kumpulan petugas tiada di sana dengan tujuan untuk mendapatkan simpati pengguna media sosial.

Arahan untuk mengusir masyarakat berkenaan dikeluarkan setelah satu insiden tembakan di Teluk Darvel dan kerisauan tentang aktiviti jenayah rentas esempadan.

Pada Oktober tahun lepas, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menjalankan operasi keselamatan besar-besaran di Semporna dan Kunak.

Mereka telah merampas 17 buah bot pam dan menahan lima individu terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah termasuk pengedaran dadah, rentas sempadan secara haram dan penyeludupan.


Bajau Laut Hidup Secara Nomad

Seperti namanya, masyarakat Bajau Laut hidup secara nomad dan dikenali sebagai pelaut. Dikatakan bahawa mereka jarang menjejakkan kaki ke darat. Kebanyakan daripada mereka tinggal di perairan Sabah sejak sekian lama.

Dianggarkan sekitar satu juta masyarakat Bajau Laut tinggal di Malaysia. Sebahagian besar mereka tinggal di Sabah, Indonesia dan selatan Filipina, antaranya di Laut Sulu.

Sumber gambar: pulaumabul.com

Mereka menetap di atas rumah perahu yang cukup besar untuk menempatkan barang keperluan, atau di dalam pondok atas laut yang dibina di atas tiang kayu.

Keluarga Bajau Laut menyediakan resipi tradisional seperti Kasaba Panggykayu dan bertukar lebihan makanan laut dengan barang keperluan bersama penduduk pulau.


Majoriti Masyarakat Bajau Laut Tiada Pengenalan Diri Rasmi

Memandangkan mereka sering berpindah-randah, majoriti Bajau Laut tidak mempunyai sebarang dokumentasi. Walaupun terdapat segolongan yang telah masuk ke Malaysia menerusi proses imigrasi, masih ramai yang tidak mempunyai pengenalan diri rasmi.

Memandangkan mereka dianggap sebagai pendatang asing, aktiviti harian seperti memancing ikan, bercucuk-tanam dan membina bangunan tanpa kebenaran pihak berkuasa adalah menyalahi undang-undang.

Kata Liew, pihak berkuasa mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti haram di kawasan yang dilindungi dan diuruskan oleh TTS yang diduduki oleh masyarakat Bajau Laut.

“Kedaulatan undang-undang negara harus ditegakkan,” kata Liew dalam satu kenyataan Jumaat lepas, lapor Reuters.

Sumber gambar: Video tular

Walaupun pengusiran terbabit dilihat sejajar dengan undang-undang negara, ramai yang melabel tindakan tersebut sebagai tidak bertimbang rasa dan salah dari segi kemanusiaan.

Sebuah organisasi hak kemanusiaan, Pusat Komas, meminta kerajaan untuk menyediakan penginapan alternatif bagi masyarakat Bajau Laut. Kerajaan juga digesa untuk menyelesaikan masalah dokumentasi agar mereka dapat diberikan layanan yang saksama dan perkhidmatan mustahak.


“Sama Macam Apa Berlaku Di Gaza” – Netizen

Isu ini hangat dibincangan dari pelbagai sudut dengan orang ramai memberi sokongan terhadap masyarakat Bajau Laut.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga telah mengeluarkan satu kenyataan media yang mendakwa kerajaan gagal dalam memastikan kemudahan asas tersedia buat komuniti ini.

Dalam pada itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersama Mahasiswa Keadilan Malaysia menggesa kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas berhubung isu kewarganegaraan di Sabah.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan isu warga tanpa negara membabitkan Bajau Laut adalah kompleks dan tidak boleh diselesaikan secara mudah.

“Jawatankuasa ini perlu berfungsi dalam menyediakan perancangan secara lebih tersusun serta menilai kembali perundangan, dasar dan prosedur yang sedia ada terutamanya dalam isu kewarganegaraan,” kata kenyataan itu lagi.

Namun, terdapat juga individu yang berpendapat kebimbangan terhadap keselamatan negara apabila membabitkan penempatan haram adalah wajar.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd