Now Reading
BUDI Madani: Penyasaran Semula Subsidi Diesel Bermula Hari Ini

BUDI Madani: Penyasaran Semula Subsidi Diesel Bermula Hari Ini

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sekitar 80% pengguna akan menerima bantuan yang mencukupi untuk menampung perbezaan kos harga diesel.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kerajaan telah melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel di Semenanjung Malaysia bermula hari ini (10 Jun). Menerusi pelaksanaan ini, harga runcit diesel mengikut harga pasaran dan diserta dengan pengagihan bantuan bersasar

Sehubungan itu, harga runcit diesel ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula tengah malam tadi di kesemua stesen minyak di Semenanjung Malaysia. Sebaliknya harga diesel kekal pada RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan.


Harga Diesel Subsidi Kekal Bagi Sektor Tertentu

Dalam pada itu, beberapa sektor layak mendapatkan subsidi bersasar seperti berikut:

  • Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang menggunakan kaedah ‘fleet card’ bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.
  • Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 bagi kenderaan-kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal pada harga RM1.88 seliter.
  • Diesel bersubsidi bagi nelayan kekal pada harga RM1.65 seliter.

Individu yang layak juga akan menerima subsidi bersasar dalam bentuk bantuan tunai menerusi beberapa insiatif:

  • Bantuan tunai BUDI Individu sebanyak RM200 sebulan kepada warganegara Malaysia yang memiliki kenderaan diesel persendirian untuk menampung perbelanjaan bahan api diesel yang meningkat; dan
  • Bantuan tunai BUDI Agri-Komiditi sebanyak RM200 sebulan bagi petani kecil dan pekebun kecil komiditi untuk mengurangkan kesan kepada punca pendapatan.

Di samping itu, kerajaan juga memperkenalkan 14 kategori pengangkutan barangan baharu yang layak menerima subsidi bersasar di bawah SKDS 2.0 termasuk lori makanan katering, lori rigid (hasil pertanian), lori rigid (kandang haiwan), lori rigid (sampah) dan van semi panel.

Terdapat tiga kategori penerima bantuan tunai subsidi bersasar diesel iaitu BUDI Individu, BUDI Agri-Komoditi dan MySubsidi Diesel. Syarat kelayakan bagi setiap kategori boleh dirujuk pada infografik di bawah. Pendaftaran boleh dilakukan di laman web BUDI Madani.


Penyasaran Semula Subsidi Bendung Ketirisan Diesel Subsidi

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata bahawa penyasaran semula subsidi dilakukan bagi membendung ketirisan diesel subsidi. Untuk makluman, kerajaan membelanjakan sebanyak RM14.3 bilion bagi menanggung subsidi diesal pada tahun 2023.

“Malaysia tidak mampu untuk terus kerugian berbilion ringgit akibat penyeludupan dan penyelewengan diesel yang berleluasa, sedangkan wang itu lebih baik dibelanjakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan membangunkan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Individu yang layak boleh membuat permohonan subsidi sejak 28 Mei lalu dan sebanyak 30,000 orang, merangkumi BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi, menjadi kumpulan pertama menerima bantuan RM200 pada hari ini.


80% Pengguna Diesel Terima Bantuan Mencukupi

Amir berkata sekitar 80% pengguna bahan api diesel akan menerima bantuan RM200 di bawah program BUDI Madani yang mencukupi untuk menampung perbezaan kos bagi harga diesel baharu.

Katanya, jumlah bantuan tersebut ditetapkan selepas kajian ke atas penggunaan diesel dilakukan dan berdasarkan data oleh Jabatan Perangkaan Malaysian (DOSM).

“Data oleh DOSM didapati menerusi tinjauan berkaitan kenderaan diesel di Malaysia, terutamanya di Semenanjung Malaysia,” katanya.


Harga Diesel Negara Antara Terendah Di Asia Tenggara

Walaupun penyasaran semula bahan api diesel dilakukan di Malaysia, harganya adalah antara kedua termurah di Asia Tenggara selepas Brunei.

Kementerian Kewangan telah berkongsi senarai harga diesel di negara-negara lain di rantau ini iaitu:

  • Singapura – RM8.79/ liter
  • Myanmar – RM5.40/ liter
  • Filipina – RM4.75/ liter
  • Kemboja – RM4.64/ liter
  • Laos – RM4.56/ liter
  • Indonesia – RM4.43/ liter
  • Thailand – RM 4.42/ liter
  • Vietnam – RM3.69/ liter
  • Brunei – RM1.09/ liter

Pun begitu, masih terdapat individu yang merasakan kerajaan seharusnya meningkatkan harga diesel ke sekurang-kurangnya RM4 seliter bagi membendung penyeludupan ke negara jiran.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd