Now Reading
Harimau Bukan Oyen, ‘Tempat Perlindungan’ Penuh Perilaku Tidak Beretika

Harimau Bukan Oyen, ‘Tempat Perlindungan’ Penuh Perilaku Tidak Beretika

‘Tempat perlindungan harimau’ di negara jiran telah menjadi satu tarikan pelancongan dan turut dilawat oleh rakyat Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Harimau popular dengan gelaran ‘raja rimba’ di Malaysia dan dikenali dengan sifatnya yang ganas. Harimau Malaya menjadi haiwan kebangsaan negara dengan lambangnya turut tertera pada logo-logo institusi seperti PDRM dan FAM.

Walaupun Pak Belang ialah haiwan liar yang terancam dan dilindungi, terdapat individu yang masih mahu menyentuh dan membelainya seperti seekor kucing apabila diberi peluang.

Di TikTok baru-baru ini, tular beberapa video yang menunjukkan seorang rakyat Malaysia melawat sebuah ‘kawasan perlindungan harimau’ di Thailand.

Tempat tersebut membenarkan pelawat untuk berinteraksi secara langsung dengan haiwan liar itu, dan bukan hanya melihat dari jauh seperti di zoo tempatan. Bukan sahaja harimau dewasa, malah anak-anaknya turut dijadikan ‘komoditi’.

Antara perkara yang boleh dilakukan adalah berjalan bersama harimau, duduk bersebelahannya, serta membelainya untuk dirakam video dan gambar.

Sumber gambar: TikTok

Haiwan Dipaksa Berinteraksi Dengan Manusia

Sekali pandang memang nampak seronok. Lebih-lebih lagi anda mungkin hanya berpeluang sekali seumur hidup untuk menyertai aktiviti pelancongan tersebut.

Namun begitu, walaupun sangat popular sama ada di Thailand atau negara-negara lain, tidak dapat dipastikan jika wujudnya sebarang amalan tidak beretika di tempat tarikan tersebut. Malah, timbul kebimbangan terhadap kebajikan dan keselamatan harimau dan juga pelawat.

Sebagai contoh, interaksi antara pelawat dengan harimau kebiasaannya dianggap berlaku secara ‘terpaksa’.

Sumber gambar: TikTok

Walaupun berada dalam keluarga kucing, harimau bukanlah ‘oyen’ yang sering menjadi haiwan peliharaan.

Harimau dipaksa untuk melakukan interaksi yang bertentangan dengan nalurinya bersama pelawat seperti ‘posing’ untuk diambil gambarnya, dibawa jalan menggunakan tali cawak (leash) dan diberi makan atau minum susu.

Perkara-perkara ini menghalang harimau daripada melakukan tingkah laku semula jadinya. Harimau merupakan haiwan pemangsa. Adakah harimau liar akan membenarkan seseorang menarik ekornya hanya untuk diambil video?

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Unsplash)

Anak Harimau Dipisahkan Dari Ibu Sejak Kecil

Di samping itu, bagi tujuan interaksi dengan anak-anak harimau, mereka biasanya akan dipisahkan daripada ibu sejak kecil. Perkara ini mendatangkan tekanan dan menyebabkan mereka tidak dapat mempelajari kemahiran sosial dan kehidupan yang biasa diperolehi di rimba.

Anak harimau yang sering dipegang oleh pekerja dan pelawat juga berisiko mengalami kecederaan dan lebih tekanan.

Malah, sesetengah ‘tempat perlindungan harimau’ ini meletakkan haiwan itu dalam keadaan yang sangat teruk serta tidak diberi makan, minum atau rehat. Kandang yang kecil menyekat pergerakan mereka dan menyebabkan tekanan psikologi.

Lebih teruk lagi apabila harimau telah tua, kebanyakannya akan dibunuh dan bangkainya digunakan untuk menghasilkan ‘arak harimau’.

Sumber gambar: iStockimages.

Harimau Malaya Dijangka Pupus Tak Lama Lagi

Harimau kebanggaan negara ini sudah semakin berkurangan dan dijangka pupus dalam masa lima hingga 10 tahun sahaja lagi.

Mereka bukan sahaja berisiko dengan aktiviti pemburuan haram oleh manusia, tetapi juga secara tidak langsung seperti pembinaan lebuhraya yang menyebabkan kawasan hutan semakin mengecil dan kehilangan sumber makanan.

Menurut ahli biologi hidupan liar di Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT), Kae Kawanishi, 90% habitat harimau di Malaysia telah hilang dalam masa 70 tahun lalu. 

Oleh itu, tidak memeranjatkan apabila beberapa kali dilaporkan harimau masuk ke kawasan manusia serta dilanggar di lebuhraya.

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Harimau Malaya Berisiko Pupus Tidak Lama Lagi?

Baca Artikel Berkaitan: Harimau Dijumpai Di Batang Kali – Ini Apa Yang Anda Perlu Buat Jika Terjumpa ‘Pak Belang’

Baca Artikel Berkaitan: “Kesiannya, Dah Lah Tak Banyak” – Ramai Sedih Lihat Harimau Belang Maut Dilanggar Di Bentong [Video]


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd