Now Reading
Warga Emas Pernah Tolak Tawaran 3 Kali, Sambut Panggilan Haji Tahun Ini Walaupun Berkerusi Roda

Warga Emas Pernah Tolak Tawaran 3 Kali, Sambut Panggilan Haji Tahun Ini Walaupun Berkerusi Roda

Azmi Kassim sebelum ini telah tiga kali menolak tawaran haji kerana pandemik COVID19 dan tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Menunaikan haji merupakan impian setiap umat Islam memandangkan ia merupakan rukun Islam yang kelima.

Di Malaysia, penyediaan perkhidmatan haji diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji (TH). Umat Islam boleh menyimpan wang dengan pihak TH yang akan digunakan bagi membiayai kos menunaikan umrah atau haji.

Menjelang haji tahun ini, sudah ramai jemaah dari Malaysia yang telah berangkat ke Mekah sejak kumpulan pertama pada 9 Mei lalu.

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Jadi Negara Pertama Tahun Ini Terima Visa Haji Dari Arab Saudi


3 Kali Terpaksa Tolak Tawaran Haji Sebelum Ini

Salah seorang individu yang menyambut seruan ke Tanah Suci itu merupakan seorang warga emas yang berkerusi roda.

Azmi Kassim yang berusia 64 tahun, sebelum ini telah tiga kali terpaksa melepaskan peluang menunaikan ibadah tersebut. Namun, kali ini dia tetap menggagahkan diri untuk menunaikan rukun Islam kelima itu memandangkan sudah tiba rezekinya.

Dia yang merupakan pekerja pembersihan sebelum ini telah menabung dengan Tabung Haji sejak tahun 2009 lagi.

Katanya, dia terpaksa menolak tawaran pada tahun 2020 dan 2022 akibat pandemik COVID19. Tawaran ketiga pada 2023 pula ditolak olehnya disebabkan keadaannya yang kurang sihat ketika itu.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Terlibat Kemalangan Pada Bulan Februari

Pada Februari lepas, Azmi diuji apabila ditimpa kemalangan yang menyebabkan lima jari kaki kanannya terpaksa dibuang sehingga perlu berkerusi roda. Keadaan ini menyebabkan dia berasa berat hati untuk menerima tawaran haji yang keempat.

Walau bagaimanapun, dia menggagahkan dirinya untuk menunaikan rukun Islam itu berkat dorongan dan semangat yang diberikan oleh ahli keluarga, kawan-kawan serta doktor.

Saya kena kuat semangat, insya-Allah boleh. Sekarang pun fasiliti sudah moden, jadi kita gunalah keperluan yang disediakan untuk tunaikan haji.

Jemaah haji, Azmi Kassim.

Dia memaklumkan perkara itu ketika ditemui pihak Bernama di Majlis Meraikan Jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor Tahun 1445H/2024M di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) semalam (22 Mei).

Azmi ditemani anak sulungnya, Rashimah, dan suami yang akan bersama-sama menunaikan haji memandangkan isterinya telah meninggal dunia pada tahun lepas.

Majlis Meraikan Jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor Tahun 1445H/2024M. (Sumber gambar: Onn Hafiz Ghazi/ Facebook)

Tujuh Sekeluarga Terima Tawaran Haji Sejak 15 Tahun Lalu

Di samping Azmi, tujuh sekeluarga yang menunggu tawaran haji sejak 15 tahun lepas turut menerima khabar gembira dari pihak TH.

Juga mendaftar sejak tahun 2009, Pengarah Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Pagoh, Prof Dr Safian Sharif berpeluang menunaikan haji bersama-sama isterinya, tiga anak, dan dua menantu. Dia sebelum ini telah dua kali melaksanakan ibadah itu.

Tidak terkata perasaan kami ketika ini, sangat-sangat bersyukur dan gembira, Allah pilih kami semua untuk tunai haji bersama-sama pada tahun ini.

Pengarah Kampus UTM Pagoh, Prof Dr Safian Sharif.

MB Johor Rai Jemaah Haji Dari Johor

Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut bersama-sama meraikan 137 jemaah haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) di LTAS.

Mereka merupakan kumpulan terakhir yang berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menaiki penerbangan terus ke Mekah, Arab Saudi pada jam 8 malam semalam.

Menurutnya, terdapat sejumlah 3,938 jemaah dari Johor yang akan menunaikan haji bagi tahun ini.

Baca Artikel Berkaitan: Ini 9 Tips Untuk Bakal Jemaah Haji. #8 Paling Penting

Baca Artikel Berkaitan: “Lama Sangat Buat Haji Sampai 40 Hari” – Lelaki Perjelas Sebab Jemaah Malaysia Ambil Masa Lama

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Apa Hukum Utamakan Hobi Daripada Pergi Haji Bagi Golongan Berkemampuan? Ini Penjelasan UAI


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd