Now Reading
Insiden Pokok Tumbang: Ini Sebab & Cara Untuk Elak Kejadian Sama

Insiden Pokok Tumbang: Ini Sebab & Cara Untuk Elak Kejadian Sama

Antara perkara yang menyebabkan pokok mudah tumbang adalah sistem akar lemah dan tanah yang lembut akibat tepu dengan air hujan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak kebelakangan ini, banyak pokok telah tumbang setelah ribut. Salah satunya adalah kejadian di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur apabila sebatang pokok besar menghempap 17 buah kenderaan dan memecahkan landasan monorel.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pokok Besar Tumbang Di Jalan Sultan Ismail, Berhadapan Hotel Concorde KL

Insiden tersebut meragut nyawa seorang lelaki berusia 47 tahun dan mencederakan dua individu lain. Perkhidmatan monorel juga tergendala disebabkan kerosakan pada monorel.

Kes terbaharu berlaku semalam (14 Mei) di Jalan Pinang, melibatkan beberapa pokok yang tumbang hampir terkena konvoi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Tiada individu yang tercedera tetapi kereta di hadapan dan lima motosikal telah rosak.

Pokok-pokok yang tumbang di Jalan Sultan Ismail. (Sumber: TRP)

Mengapa Banyak Pokok Tumbang?

Sudah tentu pokok memerlukan persekitaran yang sesuai untuk hidup, sama seperti hidupan lain. Secara amnya, pokok boleh bertahan dalam keadaan cuaca buruk, tetapi terdapat beberapa faktor menyebabkan pokok yang kelihatan sihat untuk tumbang.

Sistem akar yang lemah

Pokok memerlukan akar yang sihat dan kuat untuk kekal tegak dalam pelbagai keadaan cuaca.

Akar memerlukan ruang yang cukup untuk tumbuh meluas bagi menghasilkan pangkal yang stabil. Namun begitu, peningkatan pembangunan di bandar tidak kondusif bagi akar pokok untuk membesar dengan sepatutnya.

Selalunya, akar akan dipotong untuk membina jalan dan laluan pejalan kaki, menyebabkan pokok menjadi tidak stabil.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Unsplash)

Tanah yang tepu

Apabila hujan lebat, tanah yang dipenuhi air akan menjadi lembut seterusnya menyebabkan akar pokok kurang cengkaman. Perkara ini lebih terjadi pada pokok besar dengan akar pendek dan tidak sihat yang tidak mampu mengekalkan pokok berdiri tegak.

Tambahan pula, kelembapan yang berlebihan boleh menyebabkan akar mereput dalam jangka masa panjang.

Pokok tidak stabil

Selain daripada akar yang sihat dan kuat, kestabilan pokok juga bergantung kepada dahan pada kanopi.

Pokok boleh menjadi lebih berat di bahagian atasnya disebabkan oleh cecair yang telah ditarik ke kanopi daun. Berat yang tidak stabil ditambah dengan angin kuat boleh menyebabkan pokok tumbang.

Dalam masa sama, ranting yang dipangkas dengan sesuka hati juga boleh menyebabkan pokok menjadi tidak stabil.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Unsplash)

Pokok sudah rosak

Pokok yang telah rosak seperti mempunyai dahan berpenyakit atau dahan terbelah perlu dipotong atau dicabut oleh arboris bertauliah.


Cara Elak Pokok Baharu Tumbang

Hari ini (14 Mei), pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diarah untuk menebang pokok-pokok berisiko tinggi.

Dalam masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata DBKL perlu memperincikan program penggantian semula pokok bagi memastikan kelestarian alam.

Baca Artikel Berkaitan: DBKL Diarah Tebang Pokok Berisiko Tinggi Dengan Kadar Segera – Dr Zaliha

Terdapat beberapa cara untuk mengelakkan pokok yang baharu tanam daripada tumbang pada masa akan datang.

A general view of the Lake Gardens at Bangsar South in Kuala Lumpur, April 27, 2024. Malay Mail
Sumber gambar: Malay Mail

Pokok baharu harus ditanam jauh ke dalam tanah dengan ruang yang secukupnya untuk akar tumbuh.

Pokok juga lebih elok ditanam dalam satu kumpulan dengan sekurang-kurangnya lima pohon di kawasan tanah yang sama untuk menjadikan mereka tahan terhadap ribut.

Ini kerana penanaman sedemikian akan mewujudkan perlindungan bersama, stabiliti akar dan pengurangan hadlaju angin.

Seterusnya, pokok perlu sentiasa diselenggara termasuk melakukan pemangkasan dan penyingkiran kayu yang telah mati.


Kenal Pasti Tanda-Tanda Pokok Bakal Tumbang

Bagi pokok sedia ada pula, pihak tertentu harus memeriksa sebarang tanda kerosakan atau kereputan kerana ia berisiko tumbang setelah ribut kuat.

Antara tanda-tanda yang boleh dikenal pasti adalah:

Ranting jatuh atau mati

Ranting yang terjatuh atau telah mati menunjukkan bahawa pokok tersebut kekurangan nutrien.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Unsplash)

Akar berdekatan air

Pokok yang terletak berhampiran jasad air berisiko mengalami masalah akar bertakung dengan air yang boleh menyebabkan ia menjadi reput.

Oleh itu, kereputan pada akar pokok harus diperiksa kerana ia boleh menjadi petunjuk pokok berisiko tumbang.

Kulat pada akar

Kulat seperti cendawan yang tumbuh pada pangkal atau akar pokok adalah salah satu tanda akar mereput.

Kulit kayu hilang atau kesan yang dalam pada batang

Bahagian kulit kayu yang hilang, luka atau berlekuk dikenali sebagai ‘kanker’. Kebiasannya, kanker menunjukkan bahagian pokok yang telah mati. Bahagian ini adalah lemah dan senang patah jika berlaku ribut.

Tanah yang retak atau ternaik

Jika tanah pada satu belah pokok kelihatan retak atau ternaik, pokok mungkin berada di peringkat awal sebelum ia tumbang. Pokok tersebut perlu dijadikan stabil kembali sebelum ia jatuh, biasanya menggunakan kaedah pendakapan (bracing) yang tidak invasif.

Sebaik sahaja tanda-tanda tersebut dikenal pasti dan diuruskan, pokok-pokok boleh kekal sihat dengan pemangkasan dan penjagaan yang kerap oleh arboris bertauliah.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd